Hiburan Sensasi Terkini

Zul Kurang Ajar Dengan Ibu Zahirah Sebab Itu Saya Tidak Suka – Zainol

KONTROVERSI melibatkan pelakon Zul Ariffin dan Zahirah Macwilson terus diperkatakan.

Sebelum ini, Zul telah memberi kenyataan punca hubungan cinta mereka putus dan bertekad tidak akan kembali kepada Zahirah.

Kemudian Zahirah pula mengambil jalan lebih selamat dengan mendiamkan diri dan tidak membalas tuduhan yang dilemparkan kerana mahu memberi tumpuan kepada kerjayanya.

Bagaimanapun susulan kes berkenaan, bapa Zahirah iaitu Zainol Macwilson pula tampil memberi kenyataan.

Menurut laporan mStar Online, Zainol meluahkan rasa lega akhirnya hubungan anaknya dengan Zul Ariffin benar-benar berakhir.

Menurut Zainol, awal-awal lagi dia sudah menjangkakan percintaan tersebut tidak mempunyai hala tuju ke arah sebuah perkahwinan.

“Alhamdulillah, saya rasa lega sekarang mereka sudah benar-benar putus. Dari pertemuan pertama lagi saya sudah dapat rasakan dia bukan seorang yang layak untuk Zahirah.

“Saya tidak restu hubungan mereka dan jangan sebut pasal kahwin pun, minta dijauhkan,” ujarnya ketika diminta mengulas tentang isu putus cinta anak sulungnya itu.

Tambah Zainol, dia sebenarnya kurang senang dengan sikap Zul sejak awal pertemuan mereka.

Namun demi Zahirah, dia terpaksa merelakan hubungan tersebut.

 “Kali pertama Zahirah bawa saya bertemu Zul pada tahun 2015 dan ketika itu saya tidak bersalam dengannya kerana saya dapat tahu dia bersikap kurang ajar dengan ibu Zahirah.

“Jadi sepatutnya dari situ dia tahu dan tidak meneruskan hubungan. Dia tahu saya tidak suka dan dalam tempoh itu juga dia tidak berusaha pun untuk berbaik atau menunjukkan usaha perbaiki hubungan,” ujarnya.

Sementara itu, Zainol turut diminta mengulas mengenai dakwaan Zul yang menuduh Zahirah berswafoto berdekatan jenazah ibunya.

“Itu fitnah, Zahirah juga menafikan ada bergambar seperti didakwa. Walaupun dibesarkan di luar negara dia masih tahu adab dan budaya yang kena hormat.

“Saya rasa Zul tiada modal untuk bercakap sehingga menjadikan perkara itu sebagai topik,” katanya.

Zainol mempunyai 4 orang anak bersama ibu Zahirah.

Ketika bercinta semuanya wangi. Apabila sudah berpisah, segala yang ‘busuk’ semuanya terkeluar. Apa pun, diharapkan Zul dan Zahirah dapat meneruskan kehidupan seperti biasa. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.