Sensasi Terkini Viral

Zara Zya Jelas Tak Salah Buat Kempen Mati Pucuk Untuk Kesedaran

Gara-gara memuat naik satu video pendek bercerita tentang bahaya penyakit mati pucuk dan kanser prostat di kalangan lelaki, pelakon genit Zara Zya hebat dikecam peminat.

Dalam video di laman Instagram miliknya, @zarazya berdurasi 43 saat itu, Zara menyatakan statistik dan fakta mengenai penyakit berbahaya itu dan mengingatkan kaum adam supaya menjalani gaya hidup sihat.

Dia turut menasihati lelaki di negara ini yang sememangnya berisiko mendapat penyakit itu supaya menjalani pemeriksaan sebagai langkah pencegahan awal.

Sesetengah netizen menempelak Zara kononnya dia tidak sepatutnya bercakap mengenai masalah lelaki berbanding penyakit yang dihidapi kaum wanita.

Zara yang ditemui pada majlis sidang media Program Syawal TV3 & TV9 tampil menjelaskan tujuannya memuat naik video kempen oleh Kementerian Kesihatan Malaysia itu.

“Bagi saya orang kita terlalu sensitif apabila orang perempuan menyentuh mengenai penyakit kaum lelaki, mereka tidak boleh terima dan malu untuk buat pemeriksaan, akhirnya diamkan begitu sahaja.

“Jadi apa yang saya harapkan bila saya berkongsi mengenai fakta itu, kaum lelaki akan buka mata dan sekiranya terjadi pada ahli keluarga terdekat, kita tak malu untuk mensasihati mereka supaya menjalani pemeriksaan, ”katanya.

Menurutnya, sebenarnya dia dibayar untuk menyampaikan mesej berkenaan dan apa yang disampaikan adalah berdasarkan skrip yang diterimanya untuk kempen berkenaan.

“Tapi saya rasa tak salah pun untuk saya bercakap mengenai permasalahan itu kerana ia adalah fakta dan saya turut sertakan statistik mengenai penyakit berkenaan,” katanya lagi.

Menurut pelakon My Sweet Lavender itu, masyarakat kita sepatutnya bersikap lebih positif untuk ambil tahu dan mengambil langkah pencegahan dengan melakukan pemeriksaan awal.

“Mereka sepatutnya ambil dari sudut positif kerana saya bukannya mengutuk, sebaliknya mengingatkan dan beri kesedaran,” tegasnya.

 

Zara berkata, dia tidak ambil pusing dengan komen-komen negatif yang diterima dan bersedia untuk terus memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kesihatan pada masa akan datang.

Betul juga tu, netizen tidak patut mengecam niat Zara untuk menyampaikan mesej yang baik.

Yang peliknya jualan `ubat kuat’ di pasaran bukan main laris lagi, benarkah lelaki Malaysia takut berjumpa doktor tetapi sanggup ambil risiko menggunakan ubat-ubat tidak berdaftar untuk kesan cepat dan sementara?–KLICK.MY

Sumber: Media Hiburan