Hiburan Terkini

Zara Zya Cuba Bakat Dalam Bidang Nyanyian, Hasilkan Single Pertama

SELEPAS berjaya membina nama dalam bidang lakonan, kini Zara Zya, 33, mengetengahkan bakatnya sebagai penyanyi pula.

Zara yang pernah mencipta kejutan menerusi drama Love You Mr Arrogant pada 2013, tampil berani mempertaruhkan single berjudul Tiada Dendam untuk karier nyanyiannya.

Seperti dilaporkan HM Online, Lagu balada ini hasil ciptaan bersama komposer Lieynur Liey dan Fauzi Aisunam sementara liriknya ditulis Iman Imran.

Zara berkata, dia sudah sedia untuk meluaskan bakatnya dalam bidang nyanyian.

“Lagu ini saya rakamkan sebagai hadiah untuk peminat yang setia menyokong selama ini. Tiada Dendam sangat istimewa kerana melodi dan liriknya amat positif. Saya mahu semua yang mendengar lagu ini jadi positif dan sentiasa tenang.

“Walau apapun yang dilalui dalam kehidupan ini tetap kena kuat, cekal dan tabah. Mesti ada hikmah yang menanti,” katanya.

Anak jati Perak ini berkata, dia sangat berharap peminatnya terhibur dengan single tersebut.

“Saya kuatkan semangat untuk hasilkan single ini sebaik mungkin demi anda semua, peminat kesayangan saya,” katanya.

Zara berkata, apa yang diperolehnya dalam kerjaya seni hingga berjaya pada tahap sekarang kerana sokongan padu daripada peminat.

Sejak kelmarin, Tiada Dendam sudah boleh didengar di Apple Music manakala video liriknya telah dilancarkan di saluran YouTube Life Records Malaysia.

Tiada Dendam juga boleh didengar bermula semalam di beberapa platform digital popular seperti Spotify, Joox, Kkbox dan Deezer.

Tiada Dendam diterbitkan secara kerjasama menerusi Zara Zya Management Sdn Bhd dengan Life Records dan Waznah Sdn Bhd dari Brunei Darussalam. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen