Terkini Viral

Ibu Tinggal Anak Kecil Di Dobi Sementara Keluar Cari Rezeki

KISAH sedih seorang wanita bernama Julia Isnin, 41, yang terpaksa meninggalkan anak kecilnya di dobi seperti dipaparkan dalam BH Online mengundang simpati orang ramai.

Bayi berusia empat bulan itu terpaksa ditinggalkan di kedai dobi di Larkin Perdana, Johor Bahru, setiap hari sejak dua bulan lalu ketika dia keluar bekerja.

Keluarga ini juga hidup merempat dan biasanya tidur di masjid dan rumah tinggal sejak Ogos tahun lalu apabila si suami menghilangkan diri sebelum rumah yang didiami di Taman Chempaka, disita.

Menurut Julia, dia yang bekerja mengambil upah sapu sampah di Larkin nekad meninggalkan anaknya Mohd Iskandar, empat bulan, ditemani anak perempuannya, Nor Farahin Shahri, 11, serta anak kembarnya, Mohd Azhar dan Mohd Azhari, 13.

Kesempitan hidup juga menyebabkan hanya Nor Farahin masih bersekolah, manakala anak kembarnya terpaksa berhenti sekolah sejak tahun lalu bagi membantu menjaga adik mereka.

Walaupun bimbang keselamatan anaknya terutama Iskandar yang dipanggil Is kerana masih bayi, Julia terpaksa berbuat demikian kerana tidak ada pilihan lain.

Katanya, kedai dobi adalah rumah kedua untuk anak-anaknya berteduh kerana yakin ianya lebih selamat berbanding tempat lain, selain terletak berhampiran lokasi dia bekerja di blok bangunan sama.

“Macam inilah rutin harian saya. Bermula jam 8 pagi dari Isnin hingga Sabtu, saya akan bawa anak-anak ke kedai dobi. Saya akan letak Iskandar di meja itu dan Alhamdulillah, Iskandar memang baik tak meragam, diam saja.

“Dia macam tahu mak dia susah. Kalau menangis pun biasalah nak susu tetapi kakak dia boleh buatkan. Cuma kadang-kadang kalau tak abang, kakak dia akan cari saya apabila Is menangis.

“Kadang-kadang sambil sapu sampah terdetik juga janganlah jadi apa-apa, terutama pada si kecil. Nak buat macam mana, kalau saya tak bekerja, susu makan anak semua saya tak dapat beli,” katanya.

Julia berkata, walaupun lokasi dia bekerja terletak kira-kira 100 meter dari kedai dobi itu, dia berulang kali menjenguk anaknya bagi memastikan keselamatan mereka.

Katanya, kehidupan mereka sekeluarga berubah apabila suaminya yang bekerja sebagai pemandu lori menghilangkan diri, manakala rumahnya disita, tahun lalu.

Julia cuba mencari suaminya namun gagal dan sehingga kini statusnya juga tidak diketahui.

“Bayangkan dalam pantang pun saya bekerja. Sapu sampah, pergi kedai makan untuk ambil upah cuci pinggan, nak cari duit bagi anak-anak makan. Pernah kami tiada duit dan minta dekat orang tetapi kena marah,” katanya.

Sementara itu, Presiden Muafakat Pendidikan Johor (MPJ), Ridhwan Othman ketika dihubungi berkata, pihaknya akan membantu dua anak kembar Julia iaitu Mohd Azhar dan Mohd Azhari meneruskan persekolahan mereka. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen