Viral

Wanita Terkejut, Mangkuk Letak Bungkusan Air Dicaj 30 Sen

TIDAK pernah terjadi di mana-mana restoran mengenakan caj untuk mangkuk kosong bagi meletakkan bungkusan air.

Namun malang bagi seorang wanita apabila dikenakan caj sebanyak 30 sen untuk mangkuk yang digunakan meletakkan bungkusan air oleh sebuah restoran mamak sekitar Selangor baru-baru ini.

Menurut laporan Sinchew, wanita berkenaan meminta mangkuk tersebut hanya kerana mahu meletakkan bungkusan air teh ‘O’ ais limau supaya minuman tersebut tidak tumpah sewaktu menikmati hidangan.

Meskipun mampu membayar kadar caj itu, wanita tersebut bertindak memuat naik gambar resit pembayaran di media sosial sebagai bukti bagi mendapatkan pandangan orang ramai.

Dalam pada itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) cawangan Hulu Selangor memberitahu, perkara sebegitu tidak pernah terjadi dan meminta kes tersebut dibawa ke ibu pejabat KPDNHEP.

Katanya, kes sebegitu sangat berbeza kerana pelanggan telah memesan bungkusan minuman, namun masih menggunakan perkakas restoran dan dilihat agak sukar untuk mengendali kes tersebut.

Sekiranya restoran berkenaan telah melanggar undang-undang, tindakan akan diambil. –KLICK.MY

Sumber: Utusan Malaysia