Semasa Viral

Wanita Tak Sedar Hamil, Terkejut & Gembira Lahir Bayi Perempuan

TIDAK menyedari dirinya mengandung sembilan bulan, seorang wanita berusia 38 tahun terkejut bercampur gembira apabila doktor memberitahunya dia akan bersalin pada bila-bila masa.

Suzana Sulaiman yang tiba-tiba berasa sakit perut dan belaku pendarahan di kemaluan pada pukul 5 pagi, bergegas ke Hospital Pekan, Pahang bersama suaminya Nik Salleh Nik Ngah, 43, untuk membuat pemeriksaan.

“Saya ingat hanya sakit biasa, rupanya doktor beritahu isteri saya sebenarnya sakit hendak bersalin.

‘’Terkejut, gembira, semuanya ada. Bayangkanlah kami sekeluarga termasuk isteri tidak sedar pun yang dia membawa nyawa si kecil dalam kandungan selama sembilan bulan.

‘’Ketika di hospital, doktor lakukan pemeriksaan dan buat imbasan, ternyata isteri sebenarnya mengandung dan sudah sampai masa untuk melahirkan,” katanya.

Bagi Nik Salleh tarikh 19 Disember kekal sebagai hari paling bermakna buatnya dan isteri kerana selama lima tahun mereka menunggu kehadiran zuriat dengan sabar dan akhirnya Allah memakbulkan doa mereka.

Menurutnya sejak berkahwin pada Jun 2012, dia dan isteri sentiasa menunggu dengan sabar dan bertawakal kepada Allah SWT supaya dikurniakan anak sebagai penyeri rumahtangga.

“Kami memang tidak pernah membuat apa-apa pemeriksaan kesihatan sebelum ini dan hanya menunggu dengan sabar.

“Kami sekeluarga tidak sedar yang isteri mengandung kerana badannya agak berisi dan kitaran haid tidak menentu,” katanya.

Permata hati mereka dinamakan Nik Alisha Solehah, dilahirkan pada 9.32 pagi seberat 2.88 kilogram (kg) dan sihat, walaupun si ibu tidak pernah membuat pemeriksaan kandungan sebelum ini.

Suzana yang melahirkan anaknya secara normal sedang berpantang di rumah keluarga di Kampung Padang Manggis, Pekan, Pahang.

 “Kejutan ini juga adalah hadiah hari lahir buat isteri saya iaitu pada 31 Disember dan dia ada beritahu saya yang dia gembira kerana tiba-tiba sudah menjadi ibu.

“Dahulu kami berdua, sekarang sudah bertiga. Memang tiada sesiapa pun yang sedar isteri saya mengandung sehinggalah dia melahirkan Nik Alisha Solehah,” katanya yang bekerja dengan Majlis Daerah Pekan.

Nik Salleh berkata, selepas isterinya selamat bersalin, doktor dan jururawat bertanya kepadanya mengenai pakaian bayi.

“Memang tak ada apa-apa. Terkejut. Tiada persediaan langsung sebab memang tak tahu. Jadi adik ipar saya terpaksa bergegas ke pasaraya untuk membeli pakaian bayi.

“Alhamdulillah syukur dengan anugerah terindah ini. Saya berharap agar anak saya membesar dengan sihat,” katanya.

Kisah unik pasangan ini mula dikongsikan Penolong Pegawai Perubatan di Unit Kecemasan dan Trauma hospital berkenaan, Muhammad Azrie Amirudin, 28, di Instagram miliknya pada 19 Disember lalu.

Muhammad Azrie ketika dihubungi berkata, kisah unik ini dianggapnya sebagai satu keajaiban.

“Pada waktu itu, pesakit (Suzana) datang kerana sakit perut dan ada pendarahan pada vagina. Perut besar sedikit tetapi tidak nampak seperti mengandung kerana badan agak berisi.

“Apabila membuat ujian air kencing didapati dia mengandung dan kami tanya mengenai haid terakhirnya, pesakit kata dia tidak pasti kerana sejak remaja, kitaran haidnya tidak menentu.

“Kes ini kecemasan dan kemudian dirujuk kepada Pakar Ginekologi serta pesakit kemudian melahirkan anak secara normal dalam masa 10 minit saja,” katanya.

Muhammad Azrie berkata, Suzana melahirkan bayinya cukup sembilan bulan dan kedua-duanya kemudian dipindahkan ke wad untuk pemantauan dan dibenarkan pulang pada 24 Disember lalu.

Memetik laporan Berita Harian pada 2015, pakar Obstetrik dan Ginekologi Dr Suhaimi Isa, berkata kes ini banyak berlaku kepada wanita yang mempunyai tubuh fizikal besar.

Katanya, kebiasaannya wanita berbadan besar cenderung tidak sedar dengan perubahan fizikal dialami berbanding mereka bertubuh badan kecil dan kurus.

Suhaimi juga berkata, perkara ini tidak atau jarang berlaku kepada wanita yang normal kitaran haid, sebaliknya mereka yang mempunyai masalah dengan haid berpotensi mengalami situasi ini.

“Wanita yang berbadan besar cenderung mempunyai masalah kitaran haid yang tidak normal. Ada pesakit yang tidak datang haid hampir setahun justeru mereka menganggap perkara itu adalah normal dan mengambil sikap tidak endah serta tidak membuat pemeriksaan,” katanya.

Beliau bagaimanpun menasihatkan supaya wanita lebih prihatin terhadap tubuh mereka dan melakukan pemeriksaan sekiranya mengalami sebarang masalah berkaitan wanita. –KLICK.MY

Sumber: Harian Metro

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen