Gaya Hidup

Wanita Stres Disangka Mahu Bunuh Diri Gemparkan Orang Ramai

SEMALAM gempar berita mengenai seorang wanita yang membawa dua anaknya dikatakan mahu membunuh diri dengan terjun dari jambatan.

Wanita yang bekerja sebagai pembantu makmal di sebuah sekolah di Ulu Tiram, Batu Pahat itu bertindak memberhentikan kereta di Jambatan Perserai.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang kelmarin, tindakan wanita berusia 27 tahun itu mengundang kegusaran orang ramai sehingga ada yang mendakwa dia dipercayai cuba terjun dari jambatan berkenaan.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, wanita yang memandu kereta Proton Saga itu dipercayai mengalami tekanan perasaan.

Menurutnya, tiada kes kematian dalam kenderaan seperti ditularkan netizen dalam kejadian tersebut, sebaliknya tindakan wanita itu yang berhenti di lorong motosikal menyebabkan kesesakan lalu lintas.

“Siasatan awal mendapati wanita itu dipercayai mengalami tekanan perasaan dan mengambil tindakan itu ekoran gagal menghubungi suaminya sejak tengah hari.

“Dia juga mendakwa tertekan kerana dimarahi pengetua sekolahnya semasa cuba meminta sambung cuti selama sehari selain dihambur dengan perkataan kurang sopan,” katanya.

Wanita tersebut turut mendakwa mengalami masalah kewangan kerana suaminya tidak bekerja akibat kemalangan di tempat kerja sejak tujuh bulan lalu.

“Suaminya dikatakan mengalami kecederaan patah tangan akibat terjatuh dari bangunan semasa bekerja sebagai pemasang pendingin hawa dan difahamkan hingga kini tuntutan Perkeso belum diperoleh.

“Masalah kewangan yang dialami menyebabkan mereka dipercayai dihalau pemilik rumah sewa di Johor Bahru kerana gagal membayar tunggakan sewa selama dua bulan,” jelasnya.

Bagaimanapun, Abdul Wahib menjelaskan, wanita itu mengakui tiada niat untuk membunuh diri kerana masih mempunyai dua anak kecil, sebaliknya berada di jambatan itu akibat buntu dan berharap suaminya datang ke situ.

“Dia dinasihatkan balik bersama-sama dua anaknya kerana kea­daan diri yang masih kurang stabil dan akan dipanggil semula untuk dirakamkan percakapan. Malah, polis juga meminta orang ramai tidak menularkan berita palsu kononnya wanita itu cuba membunuh diri,” katanya. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.