Gaya Hidup Terkini

Wanita Menang Peraduan, Keliling Dunia Dengan Percutian Mewah

IINILAH yang dikatakan tuah dan rezeki. Seorang wanita dari Australia, Sorolle Amore berjaya mengalahkan ribuan peserta lain bagi mendapat tajaan percutian mewah mengelilingi dunia.

Dia ditaja sepenuhnya selama tiga bulan untuk melancong ke 12 destinasi mewah seluruh dunia.

Selaku pemenang peraduan yang dianjurkan oleh kelab pelancongan ThirdHome, Sorelle berkongsi gambar-gambarnya  sedang menikmati percutian mewah itu di Instagram.

Percutian mewah tersebut bermula di istana Scotland dan berakhir di tepi pantai yang indah di Sydney.

Sorelle diberi bayaran $10,000 sebulan, elaun perjalanan serta berpeluang menjemput rakan-rakannya bercuti bersama. Pada setiap percutiannya itu, dia perlu berkongsi pengalaman tersebut di media sosial.

“Semasa perjalanan ke destinasi seterusnya saya akan mengedit video, gambar dan menulis artikel,” kata Sorelle.

Dia dibawa ke penginapan mewah seluruh dunia — dari sebuah rumah pokok di Bali ke sebuah vila 12-bilik tidur di Costa Rica hinggalah sebuah istana Scotland tahun 1800-an.

Namun untuk memenangi peraduan tersebut bukanlah perkara mudah. Sorelle bekerja keras untuk meyakinkan agensi pelancongan itu bahawa dia adalah wanita yang layak mendapat tawaran tersebut.

Pengalamannya sebagai blogger dan pengembara turut membantunya menang.

“Saya pergi ke majalah, stesen berita dalam talian dan radio. Saya berjumpa semua orang agar saya terpilih. Tiada orang lain yang segigih saya dan akhirnya kerja keras itu berbaloi,” jelasnya.

Sungguhpun dapat bercuti dalam serba serbi kemewahan, Sorelle tidak dapat lari dari berdepan dengan masalah.

Menurut Sorell, tekanan yang ditanggungnya ialah untuk mendapatkan gambar terbaik. Dia juga mengaku tidak cukup tidur namun tetap menghargai pengalamannya itu.

Setelah selesai pengembaraan mewahnya, dia kini kembali ke rumah dan terasa seperti kehilangan sesuatu yang dirinduinya. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen