Gaya Hidup

Wanita Kecewa Pihak Berkaitan Lepas Tangan Bantu Tuntung Cedera

IBARAT seperti bola disepak ke sana sini. Begitulah yang terjadi kepada seorang wanita apabila cuba mendapatkan pertolongan daripada pihak berkaitan untuk menolong seekor tuntung yang cedera kelmarin.

Tuntung itu didapati cedera apabila mata kail tersangkut pada mulutnya di Taman Tasik Shah Alam, Selangor.

Percubaannya mendapatkan pertolongan, dipandang enteng oleh pihak berkaitan malah masing-masing tidak mahu bertanggungjawab dan menuding satu sama lain.

Hafizah Ahmad, 32 berkata, dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, dia berjoging di tasik berkenaan sebelum terlihat seekor tuntung terdampar di tepi tasik dan apabila menghampirinya, didapati haiwan itu dalam keadaan kesakitan.

“Saya perasan ada mata kail tersangkut pada mulutnya. Kebetulan beberapa individu yang melalui kawasan ini turut berhenti dan cuba membantu mengeluarkan mata kail itu tetapi tidak berjaya.

“Kami hubungi Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) tetapi dimaklumkan ia bukan di bawah bidang kuasa mereka dan meminta kami hubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya.

Bagaimanapun Hafizah berkata, dia hampa apabila APM pula memintanya menghubungi talian kecemasan 999 sebelum diberitahu kes berkenaan bukan tanggungjawab mereka.

Katanya, usaha menghubungi Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) juga gagal.

“Selepas itu, seorang lelaki menghubungi anak saudaranya yang bertugas sebagai anggota bomba dan tidak lama selepas itu sepasukan anggota bomba datang.

“Walaupun ia seekor haiwan, tuntung juga bernyawa dan merasa kesakitan. Justeru, saya berharap pihak berkaitan tidak mengambil sikap lepas tangan apabila menerima panggilan seperti ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15 Shah Alam Azmel Kamarudin berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai penemuan tuntung yang cedera itu sebelum pasukannya bergegas ke lokasi kejadian.

“Usaha untuk mengeluarkan mata kail itu tidak berjaya dan kami menghantarnya ke JPV untuk tindakan lanjut. Selepas mata kail berjaya dikeluarkan, kami melepaskannya kembali ke dalam tasik,” katanya.

Sepatutnya setiap pihak berkaitan harus memberi contoh kepada masyarakat dan tidak menuding pada orang lain.

Walaupun hanya seekor haiwan, tetapi ia tetap makhluk Allah yang harus diberi bantuan dan dilayan dengan baik. Apapun, syabas pihak Bomba kerana prihatin.—KLICK.MY

Sumber: Harian Metro Online

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.