Luar Negara

Wanita Dipenjara Tiga Bulan Kerana Periksa Telefon Suami

HANYA kerana memeriksa telefon milik suaminya sendiri, seorang wanita di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dijatuhkan hukuman tiga bulan penjara oleh mahkamah di sana.

Dalam satu kenyataan yang dibuat terhadap isterinya, suami yang tidak dinamakan itu menyatakan bahawa isterinya akan mengakses telefonnya ketika dia sedang tidur, menyalin semua data, termasuk gambar dan mesej perbualan ke telefon pintarnya sendiri supaya dia dapat melihat semua maklumat tersebut di kemudian hari.

Lelaki itu juga mengadu isterinya akan berkongsi sebahagian daripada maklumat peribadi tersebut dengan adik-beradiknya yang lain.

Walaupun wanita itu mempertahankan dirinya dengan menyatakan bahawa suaminya telah memberi kata laluan dan keizinan untuk dia melihat telefonnya kerana sebelum ini suaminya ‘ditangkap’ berbalas mesej dengan wanita lain, mahkamah di Ras Al Khaimah mendapati dia bersalah.

Suaminya memfailkan aduan terhadap isterinya dan pihak polis memanggilnya untuk soal siasat.

Satu kes kemudian telah difailkan terhadap wanita itu kerana melanggar undang-undang privasi UAE yang ketat, yang menyatakan bahawa pasangan suami isteri dilarang mengakses telefon peribadi masing-masing tanpa izin, walaupun salah seorang daripadanya mengesyaki pasangannya curang.

Kes ini mula dilaporkan pada 1 Oktober dan sejak itu mencetuskan perdebatan hebat di media sosial.

Walaupun ada yang merasakan bahawa wanita itu layak menerima hukuman itu kerana melanggar undang-undang, ada juga yang berpendapat bahawa adalah salah dari segi moral apabila seorang suami menghantar isterinya ke penjara selama beberapa bulan hanya kerana dia melihat telefonnya tanpa izin. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.