Gaya Hidup

Wanita Cedera Tong Gas Memasak Meletup Secara Tiba-Tiba

MALANG tidak berbau buat seorang wanita apabila tong gas memasak tiba-tiba meletup ketika mangsa mahu menyediakan sarapan di rumahnya di Kuarters Klinik Kesihatan Sungkai, Bidor, Perak.

Dalam kejadian jam 5 pagi itu, mangsa yang berusia 43 tahun, dipercayai seorang jururawat, cedera pada belakang badan dan kaki.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPB) negeri, berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan pada jam 5.26 pagi.

Katanya, setiba di tempat kejadian, bomba mendapati seorang wanita terbaring di atas lantai dalam keadaan cedera pada belakang badan dan kaki.

Beliau berkata, mangsa dipercayai tercampak kira-kira satu meter akibat letupan tong gas itu yang turut merosakkan cermin tingkap, alatan memasak dan bahagian siling dapur.

 “Anggota memakai peralatan lengkap berserta alat bantuan pernafasan masuk ke premis itu sebelum membawa keluar mangsa yang cedera dan menyerahkannya kepada pasukan perubatan untuk dihantar ke hospital.

“Anggota bomba juga mengeluarkan tong gas untuk siasatan. Dapur premis itu mengalami kerosakan kira-kira 30 peratus,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, operasi tamat pada jam 6.09 pagi. –KLICK.MY

Sumber: Berita Harian Online

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.