Gaya Hidup Sensasi

Mata Rosak, Wajah Terbakar Disebabkan Semburan Pewangi Udara

SEORANG wanita memuatnaik gambar-gambar wajahnya yang melecur teruk gara-gara terkena semburan pewangi udara di Facebook, agar menjadi pengajaran kepada orang lain.

Emily Smith, 24, menderita apabila kulit wajah dan matanya melecur kerana tindakbalas kimia apabila secara tidak sengaja spray pewangi tersembur ketika berada di rumahnya, 4 November lalu.

Wajah Emily sebelum kemalangan melibatkan penyembur udara berlaku.

“Kalau dengan membaca perkongsian saya ini maka seseorang dapat diselamatkan daripada merasai kesakitan saya maka ianya berbaloi,” ujar Emily tentang keputusan berkongsi gambar wajahnya di saat ia sedang melecur teruk.

Pada masa sama dia berharap pengalamannya itu dapat membuatkan orang lain hati-hati tentang potensi bahaya yang ada pada semburan pewangi udara.

“Dalam keadaan menulis dengan mata kabur ini, saya kini sedar betapa bahaya ada di mana-mana, meskipun dalam rumah di mana kita berasa relaks di dalamnya,” ujar Emily.

Pada hari kejadian, Emily memberitahu dia pergi ke alat penyembur dan menekan butangnya ke bawah selama beberapa saat untuk mematikan fungsinya sebelum diisi dengan pewangi baru.

Ketika dalam proses mematikan fungsi penyembur itulah wajah dan matanya terkena semburan pewangi daripada alat jenama popular tersebut.

Walaupun menyedari adalah berbahaya jika minyak aromaterapi terkena secara langsung pada wajah, Emily terlupa satu perkara yang lebih bahaya iaitu minyak berkenaan telahpun mengalami proses pemanasan seterusnya mencair lantas dilepaskan dalam bentuk kabut.

Bagaimanapun kesannya hanya ketara beberapa jam kemudian, apabila kulit wajahnya mula terasa sangat panas dan melecur.

Dalam keadaan panik dia mencuci wajah dengan air sejuk dan segera menelefon panggilan kecemasan. Operator kecemasan menasihatkannya melalukan air sejuk pada wajah selain menggunakan lidah buaya dan Vasiline. Emily mengikut nasihat itu sebelum masuk tidur.

Malangnya simptom yang dialami Emily kian teruk menjelang tengah malam dan keesokan paginya dia mendapat kejutan sebaik sahaja melihat cermin.

“Saya tak kenal muka sendiri. Wajah menjadi bengkak, mata kabur serta berair dan kulit jadi buruk,” kata Emily.

Dia bergegas ke hospital dan disahkan mengalami lecuran akibat bahan kimia. Lebih azab lagi, mata Emily didapati mengalami kerosakan kekal dan dia juga berkemungkinan memiliki parut kesan kejadian itu seumur hidupnya.

Menurut Emily, kesan yang dialami mungkin tidak seteruk itu jika dia awal-awal lagi telah mengambil langkah rawatan kecemasan yang betul.

Emily kini mengalami kecacatan pada mata dan memiliki parut di wajah gara-gara penyembur pewangi.

Sehubungan itu, dia berharap perkongsiannya tentang bahaya penyembur pewangi udara itu akan dijadikan pengajaran kepada orang lain. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen