Terkini Viral

Rakaman ‘Pontianak’ Main Buai Waktu Siang Di Kempas, JB

BIASANYA hantu atau makhluk ghaib dilihat pada waktu malam tetapi berbeza dengan apa yang berlaku di Johor Bahru apabila kelibat seakan-akan pontianak dirakam pada waktu siang.

Video yang tersebar melalui Facebook dan aplikasi WhatsApp itu menggemparkan netizen.

Dalam video tersebut kelihatan buaian berhayun tanpa sesiapa di atasnya kecuali susuk seolah-olah pontianak berdiri di hadapan buaian itu.

Insiden menyeramkan itu dipercayai dirakam penghuni kuarters kerajaan yang terletak di Kempas, Johor Bahru.

Dalam video itu, kelihatan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Seperti dilaporkan NSTP, mereka dikatakan meninjau kuarters berkenaan yang dipercayai baru siap dibina namun belum dihuni sepenuhnya kakitangan jabatan itu.

Video itu dipercayai dirakam dari arah sebuah blok berhadapan taman permainan kanak-kanak di kuarters berkenaan.

Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, sejak menghuni kuarters berkenaan tiada sebarang gangguan atau kejadian tidak diingini berlaku.

“Baru-baru ini kecoh dalam beberapa kumpulan WhatsApp dan saya ada menonton video berkenaan apabila ia tular.

“Sejak tinggal di sini awal tahun ini, saya tidak pernah berdepan sebarang gangguan mistik atau berhadapan insiden pelik.

“Perumahan ini juga masih belum penuh diduduki dan ramai yang belum berpindah ke sini buat masa ini,” katanya yang tidak tahu siapa yang mengambil video berkenaan.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam JBPM Johor Mohamad Riduan Akhyar berkata, isu gangguan makhluk halus terbabit tidak pernah diutarakan sejak penghuni kuarters berpindah ke rumah masing-masing, Mac lalu.

Bagaimanapun katanya, sejak video yang memaparkan wanita menyerupai pontianak itu dikongsikan, pihaknya mengadakan bacaan tahlil dan Yasin di kawasan berkenaan, Ahad lalu.

Insiden itu dikatakan dirakam pada minggu lepas tetapi hanya tular beberapa hari lalu. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.