Hiburan Sensasi

Video Farid Kamil Di Bigo Live Sebelum Ditahan Polis, Tersebar

PETANG semalam, negara dikecohkan dengan berita seorang pengarah dan pelakon terkenal yang baru dianugerahkan gelaran Datuk telah ditahan polis gara-gara berbuat onar di kaunter trafik Balai Polis Kota Damansara.

Tanpa perlu meneka lama, berita sebenar yang lengkap diketahui umum apabila pihak polis mengeluarkan kenyataan diikuti dengan tularnya sebuah laporan polis oleh mangsa belasahan Farid sendiri.

Apa yang dapat disimpulkan, Farid pada mulanya ditemui seorang pemuda dalam keadaan tidak berbaju dan meminta pertolongan dibawa ke balai polis untuk membuat laporan berkaitan kes kemalangan.

Walau bagaimanapun ketika berhenti di sebuah restoran untuk meminjam baju daripada kawannya agar dapat diberikan kepada Farid, pemuda berkenaan sudah mula curiga melihat Farid berkelakuan aneh.

Malang sekali, kelakuan aneh Farid menjadi semakin buruk apabila dia bukan sahaja bertindak melempang dan menendang pemuda yang membantunya ketika mereka berada di balai polis sekitar jam 1.20 tengah hari, malah turut melempang anggota polis dan orang awam lain yang kebetulan berada di tempat kejadian.

Akibatnya Farid ditahan dan pemeriksaan ujian air kencing mengesahkan dia berada di bawah pengaruh dadah jenis ganja.

Dalam masa singkat, apa sahaja yang ada kena mengena dengan Farid dicungkil bagi mendapatkan berita paling sensasi berkaitan dirinya.

Isteri Farid yang juga pelakon terkenal Diana Danielle enggan beri komen buat masa ini.

Isterinya yang juga pelakon terkenal turut dihubungi pihak media namun jawapan yang diterima adalah Diana tidak dapat memberi sebarang komen sebelum dia dan keluarga menyelesaikan masalah yang sedang berlaku.

Walau bagaimanapun, seperti biasa netizen menjalankan kerja ‘penyiasatan’ sendiri dan hasilnya terkeluarlah video memaparkan Farid berada dalam rakaman Bigo Live bersama seorang lagi pelakon, Sofi Jikan beberapa jam sebelum dirinya ditemui tidak berbaju seterusnya buat hal di balai polis.

Salah satu dialog Farid yang dapat didengar dalam rakaman tersebut ialah “Bertenang, kita masih lagi dapat dikawal”.

Berdasarkan aksi Farid dalam rakaman di atas, ramai yang mengandaikan dia sudahpun berada di bawah pengaruh dadah ketika itu namun perkara ini tidak dapat dipastikan.

Hingga kini Farid masih berada dalam tahanan polis dan dia dijangka akan segera dihadapkan ke mahkamah.

Apapun keputusannya semoga insiden ini sempat memberi keinsafan kepada Farid dan pada masa sama menyedarkan artis lain yang turut terlibat dengan dadah meskipun setakat ini belum ‘kantoi’ seperti Farid, supaya kembali ke pangkal jalan sebelum terlambat. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.