Hiburan Sensasi Terkini

Audio Tidak Memuaskan, Erni Zakri Tarik Balik Video Lirik ‘Misteri’

PENYANYI Erni Zakri menjelaskan dia mempunyai sebab tersendiri mengapa menarik balik video lirik single terbaharunya, Misteri walaupun ia sudah mendapat 100,000 tontonan sejak dimuat naik di YouTube pada 27 Mac lalu.

Erni berkata, kualiti audio yang tidak memuaskan menjadi punca dia berbuat demikian walaupun ralat memandangkan ia mula mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat.

“Saya memuat naik semula video lirik itu kerana tidak berpuas hati dengan kualiti audionya selain tidak mahu peminat berasa kecewa dengan hasil yang diberikan.

“Ralat juga hilang 100,000 tontonan tetapi tidak mengapa kerana apa yang kami lakukan itu adalah untuk jangka masa panjang.

“Alhamdulillah kami sudah pun memuat naik muzik video yang baru pada 29 Mac dengan kualiti lebih baik,” katanya.

Dalam pada itu Ernie berkata, Misteri disifatkan sebagai istimewa kepada dirinya kerana liriknya berkait rapat dengan susah senang dan kepayahannya sepanjang lapan tahun bergelar penyanyi.

“Pengalaman dalam industri, saya gunakan perasaan itu secara positif untuk lagu ini dan ia sebenarnya mengangkat mesej agar jangan mudah berputus asa walaupun terpaksa mengharungi cabaran hebat dalam hidup.

“Ini masa yang sesuai saya kira untuk luahkan semua isi hati kepada semua dan Misteri juga adalah untuk semua yang mungkin merasai perasaan sama seperti saya,” katanya, seperti dilaporkan mStar Online.

Tambah Ernie, dia mengambil masa setahun untuk menyiapkan lagu tersebut kerana ingin memastikan hasilnya adalah yang terbaik.

“Banyak kali saya tidak puas hati dengan susunan lagu, vokal dan sebab itu ia tertangguh lama kerana saya mahu berikan yang terbaik kepada pendengar.

“Pertama kali dengar melodi Misteri saya sudah jatuh cinta dan seminggu juga saya sukar tidur kerana asyik memikirkan tentangnya.

“Alhamdulillah impian hendak bekerjasama dengan Gouffran dan Sang Hitam akhirnya tercapai,” katanya.

Semoga Erni terus mengorak kejayaan. Bakat yang dimiliki seharusnya diletakkan di tempat selayaknya. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.