Fesyen Gaya Hidup Terkini

Uniform Sekolah Seluruh Dunia, Mana Satu Paling Rugged?

BOLEH dikatakan di seluruh dunia, setiap sekolah mempunyai uniform tersendiri yang seragam untuk pelajarnya. Ciri-ciri uniform ini biasanya turut disesuaikan dengan budaya, cuaca dan keadaan setempat.

Jom lihat uniform pelajar di seluruh dunia.. ada yang unik dan ada juga yang rugged habis!

JEPUN
Dek kerana populariti anime dan manga di seluruh dunia, uniform sekolah pelajar di Jepun yang digelar ‘seifuku’ dicemburui ramai terutama pelajar perempuan negara lain. Uniform sekolah di sini biasanya menampilkan blaus dan skirt berlipat namun berbeza mengiut sekolah. Uniform ini disempurnakan pelajar dengan memakai kasut tumit rendah warna hitam dan stokin panjang hingga paras bawah lutut berwarna putih.

Uniform pelajar perempuan di Jepun

GREAT BRITAIN
Di Great Britain, tatacara pemakaian ke sekolah satu ketika dahulu amat ketat di mana pada tahun-tahun awal sekolah dibuka di negara ini, pelajar hanya dibenarkan memakai uniform berwarna biru kerana dipercayai dapat mendidik pelajar menjadi lebih tenang dan teratur. Walau bagaimanapun sekolah di negara ini tidak lagi mengamalkan peraturan ketat sebegitu dan pelajar kini dibenarkan memakai uniform mengikut cara dan warna ditetapkan sekolah masing-masing.

AUSTRALIA
Australia banyak mengekalkan ciri-ciri British dan ini dapat dilihat daripada uniform pelajar mereka yang hampir menyerupai uniform pelajar di Great Britain. Bagaimanapun pelajar di sana memakai topi memandangkan keadaan cuaca yang kadangkala agak panas.

CUBA
Terdapat pelbagai jenis uniform sekolah di Cuba. Sesetengah sekolah mewajibkan pelajar memakai baju putih dipadankan dengan seluar atau skirt kuning dan sesetengah sekolah memilih baju biru dengan seluar atau skirt biru gelap. Terdapat juga uniform yang menampilkan kombinasi baju putih dan pinafor atau seluar merah bersama tali leher.

INDONESIA
Di Indonesia, uniform sekolah mengikut tahap pembelajaran. Baju biasanya berwarna putih namun seluar atau kain akan berwarna merah, biru gelap atau kelabu. Sudah menjadi budaya pelajar di sana untuk menconteng uniform sekolah mereka dengan semburan cat atau pen marker di hari terakhir bergelar pelajar.

CHINA
Pelajar di China mempunyai uniform yang berbeza untuk dipakai ketika majlis, hari cuti dan hari persekolahan biasa mengikut musim sejuk atau panas. Kebiasaannya uniform pelajar lelaki dan perempuan tidak jauh berbeza dan ianya mirip pakaian sukan.

GHANA
Memakai uniform ke sekolah adalah wajib namun di Ghana, ramai rakyatnya hidup di bawah paras kemiskinan dan keutamaan bukanlah untuk membeli pakaian. Maka kerajaan sana memberikan uniform sekolah yang seragam secara percuma kepada pelajar di sana.

VIETNAM
Pelajar di sana memakai uniform lebih kurang serupa dengan pelajar di negara lain tetapi pelajar perempuan sekolah menengah diwajibkan memakai baju kebangsaan Vietnam yang dipanggil ‘ao dai’. Sesetengah sekolah mewajibkan pemakaian ‘ao dai’ pada hari tertentu namun ada juga yang mewajibkannya setiap hari.

SYRIA
Satu ketika dahulu uniform sekolah sini hanya warna-warna gelap sebelum ditukar kepada warna lebih ceria seperti biru, merah jambu dan kelabu sebagai simbolik keinginan untuk hidup dalam suasana aman selepas sekian lama berlaku konflik politik dan ketenteraan.

BHUTAN
Pelajar di Bhutan memakai baju kebangsaan sebagai uniform sekolah. Uniform pelajar perempuan dipanggil ‘kira’ manakala pelajar lelaki ‘gho’. Sebelum menggunakan beg sandang belakang yang semakin meluas digunakan pelajar di sini membawa buku dan alat tulis di dalam uniform sekolah mereka.

KOREA SELATAN
Seperti Jepun, uniform sekolah di Korea Selatan menjadi popular disebabkan pengaruh drama Korea yang semakin mengumpul peminat di seluruh dunia, di samping kerana selebriti di sana juga gemar menggayakan fesyen semasa ala uniform sekolah.

SRI LANKA
Pakaian sekolah di negara ini berwarna putih. Pelajar perempuan mengenakan tali leher manakala pelajar lelaki memadankan baju sekolah dengan seluar pendek biru.

RUSIA
Pelajar negara ini tidak lagi diwajibkan memakai uniform sekolah sejak 90an namun ianya diperkenalkan semula pada 2013. Secara umum uniform sekolah di sini menggabungkan baju putih dan seluar warna gelap.

KOREA UTARA
Uniform sekolah diwajibkan di Korea Utara. Setiap pelajar juga mesti memakai skaf merah di leher sebagai tanda sokongan kepada pemerintah.

INDIA
Di India, uniform sekolah mereka lebih kurang sama dengan kebanyakan negara lain namun apa yang membezakan adalah pelajar perempuan diwajibkan memakai seluar panjang bersama uniform sekolah mereka.

Mana satu uniform sekolah paling cantik di mata anda? Apapun harus diingat fungsi sebenar uniform itu disarung untuk memberitahu bahawa pemakainya sedang menuntut ilmu dan hakikat itu yang paling penting dipegang oleh para pelajar. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen