Luar Negara Terkini

Ulama Iran Dikecam Selepas Arahan Penangkapan Remaja Perempuan

NETIZEN Iran mengecam ulama negara itu selepas tindakan keras dikeluarkan untuk menahan seorang remaja perempuan yang memuat naik rakaman video aksi tariannya di dalam bilik di laman sosial Instagram.

Kritikan dibuat dalam bentuk tanda pagar #Dancingisnotacrime (tarian bukan satu dosa) dan wanita Iran memuat naik video aksi mereka menari di khalayak susulan penahanan ahli gimnastik, Maedeh Hojabri, 18.

“Anda akan ditertawakan jika anda memberitahu sesiapa saja di dunia bahawa gadis berusia 17 dan 18 tahun ditahan kerana menari, bergembira dan berhias atas tuduhan menyebarkan perlakuan tidak sopan, sedangkan perogol kanak-kanak dan yang lain bebas,” tulis seorang blogger Iran dan pembangkang, Hossein Ronaghi-Maleki.

Stesen TV Iran menyiarkan permohonan maaf remaja terbabit kerana ‘melanggar moral norma’ tetapi mengakui dia tidak berniat untuk melakukan apa juga bentuk pelanggaran.

Beberapa laman web berita melaporkan beberapa lagi individu ditahan atas dakwaan yang sama beberapa minggu lalu. Menurut laporan itu mereka dibebaskan dengan ikat jamin.

“Saya tidak mempunyai niat jahat…saya tidak menggalakkan orang lain melakukannya..saya tidak bekerja dengan mana-mana rangkaian,” kata Hojabri sambil menangis kepada stesen TV itu pada Jumaat lalu.

Sebelum akaun disekat oleh pihak berkuasa Iran, Hojabri memuat naik kira-kira 300 rakaman video di Instagram, dalam rakaman itu dia tidak memakai tudung.

Bagaimanapun, dakwaan khusus terhadap Hojabri tidak dinyatakan, tetapi kemungkinan dia bakal berdepan tuduhan melanggar tingkah laku hukum dalam Islam. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.