Hiburan Sensasi Terkini

Uji Rashid Diarah Keluar, Gara-Gara Gagal Bayar Sewa Rumah

MASIHKAH anda ingat dengan penyanyi veteran, Uji Rashid yang terkenal sekitar tahun 80-an? Mungkin generasi masa kini kurang mengenali penyanyi dan juga pelakon ini.

Pernah mencapai zaman kegemilangan, kini Uji bahagia tinggal bersama anak dan cucunya. Namun berita sedih yang diterima mengenai kisah terbaharunya seperti yang dikongsi oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar di Facebook mengundang rasa simpati kepadanya.

Pelantun lagu Semakin Hari Semakin Sayang ini dikhabarkan melalui detik sukar ketika ini apabila telah diarah mengosongkan rumahnya di Taman Dagang, Ampang, dipercayai kerana gagal membayar sewa.

Menurut Noh Omar, beliau didatangi penyanyi tersebut bersama anaknya, Ezzaq Farrouq Harahap Jamaludin atau Cico, 39, dan cucunya di pejabat kementeriannya bagi meminta bantuan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Noh berkata, disebabkan permohonan artis  itu menepati syarat, maka beliau telah memberi kelulusan khas untuk Uji dan keluarga mendiami rumah berkenaan.

“Sempat berbual dengan penyanyi veteren yang banyak berjasa dalam industri muzik tanah air Uji Rashid yang datang ke pejabat saya tadi.

“Beliau ada memohon rumah PPR sebelum ini dan saya diberi maklum beliau akan diusir dari rumah sewa di Ampang dalam masa terdekat atas sebab yang sangat menyedihkan.

“Memandangkan permohonan menepati syarat, saya beri kelulusan khas untuk beliau dan keluarga dapat mendiami PPR dengan segera.

“Semoga bantuan ini dapat meringankan beban dan memberi sinar baru dalam kehidupan Uji Rashid sekeluarga,” katanya seperti dikongsi dalam Facebook miliknya semalam.

Uji atau nama sebenarnya Fuziah Haroun Al Rashid difahamkan telah beberapa kali membuat permohonan bagi mendapatkan bantuan kewangan dan perumahan namun semuanya tidak berjaya.

Sebagai ibu tunggal, Uji bergantung sepenuhnya perbelanjaan kepada kerjaya seni. Semoga Uji dapat meneruskan kehidupan seperti biasa apabila tinggal di rumah baru nanti.  –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.