Viral

Tragis! Budak Perempuan Lima Tahun Maut Digilis Van Sekolah

SEORANG kanak-kanak perempuan lima tahun maut selepas digilis van sekolah yang dinaikinya di Taman Tun Aminah, dekat sini, tengah hari kelmarin.

Ketua Polis Johor Bahru Utara ACP Mohd Taib Ahmad berkata pada kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, Janiss Yeoh Zi Xuan diturunkan pemandu van untuk ke rumah neneknya.

“Kemalangan berlaku apabila van yang dipandu seorang perempuan melanggar kanak-kanak perempuan yang sedang melintas di hadapan van berkenaan selepas turun dari van tersebut untuk ke rumah neneknya,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, pemandu van yang berusia 48 tahun telah membawa mangsa ke klinik berhampiran dan seterusnya dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Baharu kerana kecederaan parah.

“Selepas lebih kurang satu jam mendapat rawatan di HSA, mangsa disahkan meninggal dunia. Semasa kejadian, van turut membawa lima penumpang kanak-kanak, bagaimanapun, kesemua mereka tidak mengalami sebarang kecederaan,” kata Mohd Taib.

Pemandu itu kemudiannya ditahan dan telah dibebaskan dengan jaminan polis petang semalam.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Video berdurasi 13 saat yang menunjukkan kanak-kanak itu dilanggar van berkenaan menjadi viral di media sosial sejak semalam. –BERNAMA

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.