Jenayah

Tragedi Wanita Kelar 4 Anak, Suami Akui Isteri Berkelakuan Pelik

SEORANG bayi lelaki berusia lapan bulan maut, manakala tiga kanak-kanak lain cedera parah dipercayai dikelar ibu kandung sendiri dalam kejadian di bilik pekerja resort di Pulau Mantanani, Kota Belud, semalam.

Kanak-kanak yang dikenali sebagai Jerry terbunuh dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari.

Manakala Jehan, 5 tahun, Melati, 7 tahun, serta Nurul Hanisa, 8 tahun, yang cedera parah dihantar ke hospital di Kota Belud untuk menerima rawatan.

Ibu kanak-kanak itu yang berusia dalam lingkungan 30-an disyaki cuba membunuh diri dengan mengelar leher sendiri kini dirawat di hospital setelah ditahan pihak polis.

Kejadian tragis itu dikatakan berpunca daripada gejala kemurungan dialami oleh suspek.

Sementara itu, Harian Metro Online melaporkan suami kepada wanita tersebut, Yohanes Kolin, 54, memberitahu isterinya berkelakuan pelik dengan menjerit dan mengatakan bilik itu ada syaitan.

Yohanes berkata, sebelum kejadian itu, isterinya menghentak-hentak kepalanya pada tiang bilik lalu dia menegur supaya berhenti berkelakukan seperti itu.

“Keadaan dia kembali tenang dan dia minta saya meneruskan pekerjaan sambil membawa masuk empat anak ke bilik. Saya masih tidak percaya dengan apa yang berlaku kerana isteri amat menyayangi anak-anak, lebih-lebih lagi Jerry.

“Tidak tahu mengapa dia (isteri) bertindak sedemikian kerana anak-anak amat manja dengannya. Malah sebelum kejadian, isteri menyuap biskut dan menuangkan minuman kepada anak-anak,” ceritanya.

Tragedi melibatkan individu yang mengalami kemurungan semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini.

Diharap pihak berwajib dapat melakukan sesuatu bagi membendung kejadian ini daripada berulang dan terus berlaku. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.