Gaya Hidup

Todak Gaming Community Anjur Festival E-Sukan Terbesar Tahun Depan

TODAK Fest 2019 merupakan sebuah festival esports (e-sukan) tempatan terbesar yang berlangsung selama dua hari bertempat di Mid Valley Exhibition Centre (MVEC) pada 26 dan 27 Januari tahun hadapan.

Dianjurkan secara besar-besaran oleh Todak Gaming Community, buat julung kalinya Todak Fest 2019 bakal menampilkan pertandingan esports, persembahan muzik secara langsung dan sajian makanan istimewa di bawah satu bumbung.

Pada masa yang sama, Todak Gaming Community juga turut mengumumkan satu kejohanan baru yang kompetitif pada awal Disember ini menerusi platform media sosial rasminya yang dinamakan Todak Cup Mobile Legends Championship.

Ia merupakan perlawanan Mobile Legends paling mencabar dengan satu siri kejohanan ‘knockout’ yang akan memberikan peluang kepada pemain profesional dan amatur untuk bersaing dan merebut hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM100,000 berserta kontrak sebagai pemain berkumpulan.

Presiden Todak Gaming Community, Khairul Azlan Zainal Ariffin berkata, pemilihan pemain yang akan mewakili Todak Gaming House tidak semestinya pasukan yang menjadi juara tetapi akan dipilih menerusi pemain terbaik di setiap posisi.

“Buat masa ini kami mencari tujuh orang pemain untuk menghasilkan satu pasukan yang terdiri daripada pemain yang terbaik daripada posisi masing-masing seperti ‘Tanker’, ‘Maskman’ dan sebagainya.

“Malah, pasukan ini akan dijaga secara profesional dari segi tempat tinggal, makan, peralatan dan akan membawa mereka ke pertandingan di seluruh dunia yang mempunyai potensi untuk kita menang,” katanya dalam sidang media dan pra-pelancaran festival e-sukan, Todak Fest 2019 semalam.

Perlawanan saringan akan bermula pada awal Januari 2019 dan penyertaaan sudah dibuka dengan pendaftaran percuma melalui todak.com/todakfest.

Peminat esports boleh menonton siaran langsung perlawanan suku akhir, separuh akhir dan akhir secara ‘online’ menerusi youtube.com/todaktv atau menyaksikan sendiri perlawanan secara ‘offline’ di Todak Fest 2019. –KLICK.MY