Luar Negara Terkini

Tidak Puas Hati Cara Kepimpinan, Ahli Politik Dipasung Rakyat

SEKIRANYA anda tidak berpuas hati dengan cara kepimpinan seseorang ahli politik, mudah sahaja untuk mengajarnya iaitu tidak mengundi beliau ketika pilihanraya akan datang.

Namun berbeza dengan cara yang diamalkan oleh rakyat Bolivia. Mereka mempunyai cara sendiri untuk menghukum ahli politik yang tidak menjalankan tanggungjawab dengan betul.

Hukuman tersebut dipanggil ‘keadilan sosial’. Baru-baru ini penduduk di San Buenaventura, sebuah bandar kecil di Bolivia Utara, memanfaatkan hak perlembagaan mereka untuk keadilan sosial.

Mereka meletakkan Datuk Bandar, Javier Delgado, dalam pasung selama satu jam. Ia dilakukan bagi menunjukkan bahawa mereka tidak berpuas hati dengan khidmatnya.

Tular di media sosial selatan Amerika sejak lewat Febuari lalu, foto-foto memalukan Datuk Bandar itu sedang duduk di atas tanah dengan satu kaki diletakkan dalam lubang kerangka kayu sambil dikelilingi penduduk bandar yang marah dengan dirinya.

Menurut sumber, pada 25 Februari lalu, Delgado sepatutnya merasmikan jambatan yang dibina dengan dana negeri dan perbandaran, tetapi apabila dia sampai ke tapak tersebut, dia terkejut mendapati orang ramai bukan menunggunya untuk majlis perasmian itu, tetapi untuk memberikannya satu pengajaran.

Tanpa menjelaskan kenapa dia dihukum, mereka hanya memegang Delgado dan meletakkannya di pasung.

“Mereka tak beri saya peluang untuk tahu mengapa saya dihukum, tetapi saya tidak menimbulkan bantahan sebab tahu risikonya akan meningkat.

“Kemudian, mereka beri saya peluang beri penjelasan dan kemudian memohon maaf kepada saya, kerana mereka menganggapnya satu salah faham dan telah dimanipulasi oleh orang-orang ini,” kata Datuk Bandar kepada La Razon.

‘Orang-orang ini’ yang dimaksudkan Delgado adalah musuh politiknya dan usahawan tempatan yang cuba menjatuhkannya selama dua tahun berkhidmat kepada masyarakat.

Bagaimanapun, Daniel Salvador, yang berasal dari San Buenaventura, memberitahu Radio Fides bahawa Delgado dihukum kerana tidak memenuhi komitmennya kepada masyarakat setempat, berbohong kepada mereka dan tidak menjadikan mereka satu keutamaan.

Ini adalah kali ketiga Delgado berdepan keadilan sosial selama dua setengah tahun perkhidmatannya. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.