Hiburan

Tidak Pernah Beralih Sokong Tun Dr Mahathir, Fathia Latiff Disanjung

DULU dia dicaci dan dikecam gara-gara secara terang-terangan menyokong Perdana Menteri ke-7, Tun Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu memihak kepada pembangkang.

Malah, pelakon ini mengakui mengalami kemurungan yang teruk akibat sikap segelintir masyarakat yang mengutuknya termasuk rakan artis sendiri seperti Dira Abu Zahar.

Berkaitan: Dira Abu Zahar Saran Fathia Latiff Turun Padang, Bukan Hanya Menaip

Namun begitu, sokongannya terhadap Tun Dr Mahathir tidak sedikit pun luntur. Fathia atau nama sebenarnya Nur Fathia Abdul Latiff, 30, berkata dia bersyukur apabila keperitan yang dilaluinya sudah berakhir dan berharap tiada sesiapa yang akan melalui pengalaman yang sama.

“Saya pernah alami kemurungan yang teruk sebab bukan seorang dua yang hentam tapi beribu-ribu orang. Ketika itu saya tidak faham apa salah saya.

“Luahan saya di laman sosial itu disebabkan terlalu kagum dan minat dengan Tun Dr Mahathir. Tidak niat untuk memasuki dunia politik pun.

“Saya percaya semua yang terjadi ada hikmah dan alhamdulill, Allah membantu dan keluarga pun beri sokongan.

“Saya berharap dan berdoa agar tidak ada sesiapa yang akan lalui keperitan seperti saya,” kata Fathia memetik mStar Online.

Episod perit itu akhirnya berbaloi kerana selepas kemenangan gabungan parti politik Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU14) yang diumumkan pada Khamis lalu, Fathia kini dipuji dan disanjung netizen.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Fathia memasang niat untuk menyambung pelajaran dalam jurusan undang-undang dalam masa terdekat.

“Alhamdulillah, terima kasih kepada Allah kerana mengurangkan bebanan dan memakbulkan doa saya.

“Saya ikhlas mengagumi Tun M dan terlalu teruja pernah temu bual beliau. Insya-Allah dalam masa terdekat ini, saya ada rancang nak sambung belajar.

“Bagi saya, ilmu pengetahuan itu penting dan selain itu kena juga belajar mengenai ilmu agama Islam,” ujarnya.

Dalam pada itu, Fathia berharap kewujudan akta undang-undang yang tidak membenarkan rakyat Malaysia terutama golongan belia menggunakan kata-kata kesat di laman sosial.

“Kita perlu wujudkan akta undang-undang yang tidak boleh menggunakan kata-kata tidak elok di laman sosial.

“Bagi kesedaran kepada rakyat Malaysia terutama golongan belia. Kita ni lantang bersuara, macam saya juga tapi kena belajar untuk menjadi lebih baik.

“Perlu tahu batas-batas bagaimana nak mengatakan sesuatu di laman sosial,” katanya.

Syabas untuk Fathia kerana tetap setia menunjukkan sokongan kepada Tun Dr Mahathir berbanding rakan artis yang lain. –KLICK.MY

 

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.