Terkini Viral

Tidak Mahu Ponteng, Pelajar Sanggup Bawa Adik Ke Sekolah

SEORANG pelajar lelaki di Filipina menjadi tumpuan di media sosial selepas dia membawa adiknya yang berumur setahun ke kelas.

Tindakan itu disebabkan dia tidak mahu ponteng kerana terpaksa menjaga adiknya di rumah.  Justeru jalan terbaik adalah membawa adiknya sekali ke sekolah.

Pelajar tersebut, Justin, 7, menjadi tular di media sosial setelah gambarnya sedang menggendong adik sambil belajar tersebar.

Justin merupakan pelajar Gred 1 di sebuah sekolah yang dikendalikan oleh kerajaan Filipina yang terletak di kawasan pedalaman di desa Salvacion di bandar Magallanes, wilayah Sorsogon.

Gurunya yang hanya ingin dikenali sebagai Madam Lei mengambil gambar menunjukkan Justin sedang menggendong adik sambil melakukan kerja rumah di kelas seterusnya memuat naik gambar itu di Facebook dengan kapsyen berbunyi:

“Saya tidak mahu ponteng puan. Saya terpaksa membawa adik saya kerana nenek perlu bekerja di ladang dan tiada siapa yang menjaganya,” tulis guru itu, memetik kata-kata Justin.

Kisah pelajar ini mengundang simpati para netizen yang bangga dengan kematangan dan sifat bertanggungjawab yang ditunjukkan meskipun pada usia muda.

Ramai yang mendoakan semoga Justin mendapat kejayaan pada masa depan.

Bagaimanapun, gambar tersebut turut membangkitkan perdebatan netizen tentang isu ibu bapa yang meninggalkan anak-anak di rumah begitu sahaja serta perancangan keluarga miskin di Filipina.

Beberapa netizen bahkan membandingkan ia dengan isu pelajar kolej yang sanggup meninggalkan pengajian mereka untuk menyertai perhimpunan membantah Presiden Rodrigo Duterte. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen