Luar Negara Terkini

Tiada Siapa Tolong, Lelaki Campak Duit Ketika Diserang Sakit Jantung

SEORANG lelaki yang diserang sakit jantung di luar sebuah stesen kereta api yang sibuk di utara China terpaksa mencampak wang tunai bagi meminta bantuan selepas rayuannya tidak dihirau orang ramai.

Lelaki yang dikenali sebagai Li itu dilaporkan diserang penyakit jantung di luar stesen kereta api Shijiazhuang di wilayah Hebei pada 24 Februari lalu menyebabkan dia tidak dapat bercakap dan mengambil ubatnya.

Lebih malang lagi, walaupun keadaan di situ sibuk tetapi orang ramai hanya melihat dan enggan membantunya.

Kerana terdesak, Li mengeluarkan sejumlah wang kertas dan mencampak kepada orang ramai supaya mereka membantunya.

Li bernasib baik apabila seorang anggota polis, Lin Xiangshen melihatnya duduk dengan mulut berdarah sambil memegang wang.

Rakaman video pada kamera di badan Lin menunjukkan anggota polis itu membantu Li memakan ubatnya sebelum menghubungi pasukan paramedik.

Lin memberitahu, ketika kejadian dia membuat rondaan sebelum melihat lelaki berkenaan dalam keadaan duduk sambil mencampak wang tunai.

“Pada mulanya saya menyangka dia mabuk tetapi terkejut apabila melihat mulutnya mengeluarkan darah.

“Saya juga melihat dia memegang botol ubat di tangan kanan dan wang di tangan kiri,” katanya.

Menurutnya, keadaan lelaki itu bertambah baik selepas mengambil ubat dan dia dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

“Lelaki itu memberitahu tiada siapa yang mahu membantunya ketika dia diserang sakit jantung menyebabkan dia mengeluarkan wang untuk menarik perhatian orang ramai,” jelasnya.

Tambahnya, dia memang mengalami masalah jantung dan sudah menjalani beberapa rawatan serta pembedahan sebelum ini. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.