Hiburan

Tiada Niat, Lisdawati Sembunyikan Kehamilan Elak Kru Produksi Risau

TIDAK gemar melihat orang lain susah kerana dirinya, pelakon Lisdawati bertindak menyembunyikan kehamilannya.

Menurut pelakon drama Mr Grey ini, tujuannya berbuat demikian kerana tidak mahu orang lain terutama kru produksi risau apatah lagi dirinya masih bertenaga biarpun kandungan sudah memasuki bulan ketujuh.

“Kalau tengok saiz kandungan, memang kecil hingga ketika saya menjayakan penggambaran drama Mr Grey, kru produksi tidak sedar saya hamil trimester pertama.

“Orang yang perasan fizikal saya berubah pun tidak menegur sebab mungkin mereka menyangka ia perubahan biasa. Kebetulan, saya membawakan watak ibu, jadi tak perlu pakai persalinan yang menyerlahkan bentuk badan.

“Ketika terima tawaran, saya tidak beritahu diri ini hamil. Bukan apa, bersandarkan pengalaman lalu, rata-rata semua orang sangat prihatin sampai saya naik segan,” katanya memetik BH Online.

Mengenai jantina anak keempatnya itu, doktor mengesahkan dia dan suami bakal menimang bayi lelaki yang dijangka dilahirkan selepas Aidilfitri.

Sungguhpun berbadan dua, Lisdawati masih aktif melakukan aktiviti lasak seperti berbasikal namun semuanya dibuat mengikut nasihat doktor.

Tiga minggu lalu, Lisdawati berbasikal sejauh 10 kilometer di Putrajaya. Baru-baru ini, Lisdawati diundang Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) menjayakan program My Town Night Ride bersama Mike Bikes di ibu negara.

Lisdawati berkata, peserta lain terkejut melihat dia mampu mengayuh basikal biarpun sarat mengandung.

“Namun, sebelum berbasikal, saya pastikan ciri keselamatan dipatuhi. Saya seronok kerana kita dapat meneroka lokasi menarik termasuk Dataran Merdeka dan Bukit Nanas,” katanya yang sudah mempunyai tiga cahaya mata sebelum ini.

Semoga Lisdawati dan kandungan sentiasa sihat dan cergas. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.