Terkini Viral

Tertinggal iPhone, Lelaki Dakwa Diperas Pemandu Uber RM300

HANYA kerana tertinggal telefon pintar iPhone dalam sebuah kenderaan Uber, seorang penumpang mendakwa dia terpaksa membayar RM300 untuk caj memulangkan telefon miliknya itu.

Pelanggan dikenali sebagai Alvin Teo menyatakan, pada mulanya dia menaiki perkhidmatan itu untuk ke tempat berjarak 5.55 kilometer dan dikenakan caj RM18.23 seperti ditetapkan dalam aplikasi Uber.

Selepas menyedari tertinggal iPhone di dalam kenderaan, dia menghantar pesanan kepada pemandu agar memulangkannya.

Dia turut berjanji akan membayar RM100 sebagai bayaran bagi kos penghantaran dan ganti rugi tenaga  serta masa pemandu terbabit.

Bagaimanapun, tawaran itu tidak dipersetujui pemandu terbabit yang enggan mengembalikan telefonnya jika tidak dibayar RM200.

Perbualan mesej  antara Alvin dan pemandu Uber terbabit kini tular di media sosial.

“Saya juga guna iPhone… tak perlu bebel dengan saya. Telefon ini mungkin penting buat awak tapi tak penting untuk saya. Itu bukan salah saya tapi kesilapan awak sendiri. Berapa banyak yang awak sanggup bayar jika saya pulangkan telefon ini?

“Kalau RM100, lupakan saja sebab ianya tak berbaloi dan saya tak mahu bazir masa disebabkan kesilapan orang lain. Lebih baik saya buang barang awak ke dalam tong sampah,” balas pemandu itu menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Selepas bersetuju dengan bayaran RM200 Alvin sekali lagi ditipu pemandu itu yang mungkir janji apabila meminta RM300 sebaik sahaja mereka bertemu.

Sementara itu, menurut mStar Online, Ketua Komunikasi Uber Asia Tenggara Leigh Wong berkata, pihaknya akan menyiasat isu tersebut dan akan mengambil tindakan sewajarnya.

“Sikap seperti ini jelas melanggar garis panduan komuniti kami dan tertakluk untuk tindakan penyahaktifan akaun pemandu.

“Pihak kami tidak boleh mengulas lanjut tentang siasatan kerana polisi privasi yang melindungi pihak pelanggan dan pemandu,” ujarnya. –KLICK.MY

Sumber: mStar Online

Tag

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.