Sensasi Terkini Viral

Tersingkir MasterChef UK Gara Gara Ayam Rendang Tak Rangup

SEMALAM tular di media sosial mengenai penyingkiran peserta MasterChef UK 2018 yang berasal dari Malaysia kerana menyediakan masakan rendang ayam.

Penyingkiran dibuat dengan alasan yang tidak munasabah iaitu ayam rendang tidak rangup itu, membuatkan rata-rata netizen terutama dari Malaysia kurang bersetuju.

Peserta MasterChef UK 2018 ini, berada di Australia pada tahun 2004 ketika dia mula menonton pertunjukan masakan paling popular berkenaan.

Walau bagaimanapun ketika itu, bekas akauntan Petronas berusia 48 tahun yang berasal dari Kuantan, Pahang ini tidak mempunyai banyak masa atau peluang untuk menjadikan impiannya sebagai realiti kerana telah berpindah-randah ke enam buah negara selama 18 tahun.

Di dalam tempoh itu, dia mengasah minatnya memasak masakan tempatan Malaysia tidak kira di mana dia berada.

Tak hairanlah Zaleha Kadir Olpin, berjaya memasuki pusingan kalah mati di peringkat suku akhir MasterChef UK, di mana para peserta dicabar untuk memasak hidangan yang penting kepada diri sendiri.

Zaleha memilih untuk memasak Nasi Lemak Ayam Rendang.

Ketika pusingan itu, Zaleha memberitahu hakim MasterChef UK yang dikenali sebagai Chef John Torode bahawa dia memilih untuk membuat nasi lemak kerana hidangan ini merupakan makanan kegemarannya semasa kecil.

“Ia sangat istimewa,” katanya kepada Chef John ketika ditanya apa maksud hidangan itu kepadanya.

Walau bagaimanapun, Chef John mengkritik bahawa rendang ayam Zaliha harus betul-betul lembut dan hancur.

Zaleha kemudiannya disingkirkan daripada pusingan itu selepas keputusan yang dibuat oleh John Torode dan Gregg Wallace.

Mereka berdua dikatakan tidak berpuas hati dengan hidangan ayam rendang tersebut kerana tidak rangup.

John Torode (kiri) dan Gregg Wallace (kanan).

“Kulit ayam tidak rangup, ia tidak boleh dimakan,” ujar Gregg kepada Zaleha ketika dia menghidangkan nasi lemak dan ayam rendang tersebut untuk diadili.

John kemudian memberitahu Zaleha bahawa keputusannya memilih Nasi Lemak Ayam Rendang sebagai hidangan yang bakal dipersembahkan adalah kesilapan besar.

Rupa-rupanya bukan sahaja netizen yang tidak setuju dengan tindakan kedua-dua chef juri tersebut, malahan Chef Wan juga.

Chef Wan tidak bersetuju dengan tindakan mereka menyingkirkan Zaleha dalam pusingan itu kerana baginya hidangan Nasi Lemak Ayam Rendang ini sama sekali berbeza dengan masakan itik atau sebagainya.

“Jelas sekali dia tidak tahu apa yang dikatakannya. Kami memasaknya dengan cara rendang Malaysia,” katanya, merujuk kepada komen Gregg mengenai kulit ayam tidak rangup.

Dalam pada itu, Zaleha ternyata pasrah dan meluahkan kekecewaannya di Instagram. Mungkin kali ini bukan rezekinya.

Kami rakyat Malaysia pun tetap setia menyokong Zaleha. ‘Mat Saleh’ manalah pandai makan dan menilai makanan Malaysia.. tak gitu? –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.