Luar Negara

Tersalah Samun ‘Wanita Besi’, Penyamun Cedera Teruk Dibelasah

PENYAMUN sememangnya tidak memilih mangsa asalkan ada peluang. Namun, kali ini, seorang penyamun benar-benar tersilap langkah apabila memilih mangsa yang juga seorang juara seni bela diri campuran (MMA).

Disangkakan mangsa yang juga seorang wanita adalah lemah. Namun dia tidak tahu wanita itu pakar dalam seni mempertahankan diri yang juga dikenali sebagai ‘wanita besi’.

Polyana Viana, juara Ultimate Fighting Championship (UFC) kategori strawweight, menewaskan suspek dengan dua tumbukan serta sepakan, sebelum menggunakan teknik ‘rear-naked choke’ dan memaksa lelaki terbabit duduk sambil menunggu ketibaan polis.

Cubaan menyamun Viana, 27 itu berlaku ketika beliau sedang menunggu kenderaan Uber di luar blok pangsapuri yang dihuninya.

Katanya, suspek mengaku memiliki pistol tetapi tidak sempat melakukan apa-apa apabila Viana bertindak membuka langkah mempertahankan diri.

Selepas menewaskan suspek, beliau mendapati senjata api yang didakwa dimiliki itu hanyalah sebuah replika diperbuat dari kadbod tebal.

Viana turut memuat naik foto suspek yang lebam dan berdarah sementara menanti ketibaan polis.

“Saya rasa dia dalam ketakutan kerana tidak menyangka saya akan bertindak sepantas itu,” katanya dalam laman web MMA Junkie.

Menurut Viana, dia pulang ke rumah untuk menyediakan makan malam selepas suspek ditahan polis dan mengalami sedikit kesakitan di bahagian tangan keesokan hari. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.