Gaya Hidup Terkini

Terkorban Demi Cinta, Ini Kisah “Valentine” Yang Ramai Tak Tahu..

BAGI anak muda, semalam antara tarikh yang mendapat perhatian mereka terutama pasangan bercinta. Bagi mereka ianya hari yang khusus untuk menzahirkan perasaan sayang kepada pasangan masing-masing sehinggakan bunga ros dan cokelat laris berbanding hari biasa.

Apa yang kebanyakan mereka tak tahu, pada hari yang sama, seseorang turut menzahirkan perasaan sayangnya hingga kehilangan nyawa sendiri. Bezanya dengan mereka ialah individu berkenaan melakukan pengorbanan tersebut untuk tanah air dan generasi masa depan iaitu kita semua.

Berikut adalah kisahnya..

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم:
بِسْــــــــــــــمِ اللهِ الرَّحْمَنِالرَّحِيْــــــــــــــمِ. السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللّه وَبَرَكَاتُهُ

اَللَّهُمَّ صَلِّ َعلى سيدنا مُحَمَّدٍ وَ عَلَى آِل سيدنا مُحَمَّد

14 Februari 1942, sekujur tubuh kaku tergantung di sebatang pokok di atas puncak Bukit Chandu, Singapura.

Mayat yang memakai uniform Askar Melayu ini ditikam bertubi-tubi tanda pembalasan dendam dan marah kerana anak muda berpangkat Leftenan inilah yang mengetuai barisan gagah, ampuh, berani dan hanya maut yang membuatkan mereka berhenti dari mempertahankan Bukit Chandu, pertahanan terakhir British di Singapura sebelum ditawan Jepun.

Lehernya dikelar, dan isi perutnya terburai dimamah bayonet Tentera Jepun. Mayatnya dilarang diturunkan, buat pengajaran untuk para penentang Maharaja Jepun.

Kendatipun diperlakukan sedemikian, di tangannya sendiri telah terkorban berpuluh askar Jepun.

Peluru habis, parang dilibas. Parang tumpul, bayonet dikilas. Bom tangan juga telah habis dilempar ke arah musuh.

Leftenan itu lebih rela berputih tulang dari berputih mata melihat posnya ditawan dan kawasan jagaannya dirampas musuh.

48 jam sebelumnya, sekumpulan Askar Melayu telah mematahkan serangan bertubi2 silih berganti Rejimen Chrysenthemum Tentera Jepun. 48 jam lamanya, Askar Melayu pimpinan beliau dari 1 Melayu, bertempur tanpa henti, berbekal semangat dan berjuang bersama Rejimen Punjabi dan saki baki British menentang keazaman Jepun menawan Singapura yang ketika itu sebahagian dari Tanah Melayu.

Jeneral Yamashita berkata selepas berjaya membunuh Leftenan Adnan dan menawan benteng terakhir Malaya di Bukit Chandu;

“Jika terdapat 10 orang Leftenan Adnan, belum pasti Malaya jatuh ke tangan Jepun.”

Musuh sekalipun turut mengagumi semangat berjuang anak Melayu ini memimpin para pengawal Bukit Chandu sehingga titisan darahnya yang terakhir.

Sepatutnya, kita semua mengenang kecekalan dan pengorbanan beliau kerana pada petang hening, 14 Februari 1942 itu, Leftenan Adnan Bin Saidi telah syahid menemui pencipta-Nya demi anak bangsa.

Terima kasih di atas semua pengorbananmu. Terima kasih juga kepada semua saudara-saudara kami yang sama gugur dan berkorban demi kami.

Leka kami adalah dosa yang selalu kami abaikan. Segunung jasad terkujur, segunung nyawa melayang, segunung jiwa-jiwa anak kecil, dan ibu-ibu menjadi balu demi anda semua terus mendaulatkan tanah bertuah ini.

“Tanah keramat tiada galang ganti.

Biar bercerai bijih dari besi.

Melebur reput terurai memakan diri,

Sampai bilapun tanah ini takkan pernah ada ganti.

Biar putih tulang, dibunuh celik, dan mati berdiri,

Tanah keramat ini, putih mata sekalipun, tiada galang ganti.”

Alfatihah. Innalillahiwa’innailaihiro’ji’un.

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.