Hiburan

Terjawab! Jangkitan Kuman Punca Mia Sara Dimasukkan Ke Hospital

AKHIRNYA teka-teki mengenai penyakit yang dihidapi oleh pelakon cilik, Mia Sara Nasuha hingga dimasukkan ke hospital terjawab.

Baru-baru ini pelakon berusia 13 tahun itu berkongsi gambar di Instagram menunjukkan dia sedang terbaring di katil sebuah hospital swasta di Kota Damansara, Petaling Jaya.

Lapor Berita Harian Online, bapa Mia sendiri memberitahu punca anaknya itu dimasukkan ke hospital setelah pelbagai spekulasi bertebaran.

Menurut bapa Mia, Muhammad Ridhuan Muhammad Saleh, Mia dijangkiti kuman pada saluran kencing hingga menyebabkan buah pinggangnya membengkak.

“Ketika bangun Subuh, kelmarin, Mia mengadu sukar kencing menyebabkan perutnya sakit. Mia bagaimanapun, tetap ke sekolah seperti biasa.

“Namun, dia menghubungi saya pada tengah hari itu dan mengadu sakitnya belum hilang. Saya terus membawanya ke klinik, tetapi diminta doktor ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

“Doktor memaklumkan, Mia mengalami jangkitan kuman pada saluran kencing menyebabkan buah pinggangnya turut membengkak. Selepas mendapat rawatan, Alhamdulillah keadaan kesihatan Mia bertambah baik,” katanya.

Tambah Ridhuan, masalah itu terjadi mungkin berpunca daripada tabiat Mia yang kurang minum air hingga menyebabkan tubuhnya mengalami dehidrasi.

Ridhuan bagaimanapun, lega apabila Mia tidak mempunyai penyakit serius lain dan dijangka dibenarkan pulang dalam beberapa hari lagi. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.