Viral

Terima Pembalasan, Bos Maki Pekerja Digantung Tugas!

BARU-BARU ini tular di media sosial sebuah klip video menunjukkan seorang bos wanita memarahi serta mengherdik dua pekerjanya dan salah seorang daripadanya adalah wanita mengandung.

Mereka dikatakan dimarahi kerana gagal mematuhi arahan dan tugasan.

“Kamu duduk di sini dan hantar SMS (khidmat pesanan ringkas) sekarang! Tengok sini, kenapa kamu tidak boleh buat apabila saya suruh kamu lakukannya?

“Kamu (wanita hamil)! Apa yang kamu pandai buat?” kata wanita itu.

Tindakan bos tersebut mendapat kecaman daripada netizen yang menganggap dia keterlaluan dan boleh menyebabkan ibu mengandung mengalami tekanan.

Kejadian dikatakan melibatkan kakitangan sebuah syarikat telekomunikasi terkenal.

Setelah video tersebut tular dan mendapat kecaman daripada pelbagai pihak, akhirnya syarikat telekomunikasi tersebut iaitu Maxis, mengeluarkan kenyataan mengenai perkara itu di akaun Twitter rasmi mereka.

Menurut Maxis, wanita tersebut telah digantung tugas.

“Baru-baru ini, sebuah video berhubung insiden di tempat kerja telah menarik perhatian kami.

“Kami kesal dengan insiden terbabit yang kini dalam siasatan. Sementara itu, pekerja terbabit telah digantung tugas.

“Insiden itu tidak mencerminkan nilai syarikat, sebaliknya kami mengamalkan nilai bersemangat tinggi, positif dan persekitaran kerja yang harmoni bagi semua pekerja,” memetik kenyataan tersebut.

Malah, Maxis juga sudah menghubungi pekerja yang terjejas selain menyatakan kekesalan terhadap kejadian itu. –KLICK.MY