Viral

Terima Kecaman Hebat, ‘Pegawai Akhbar’ Syed Saddiq Letak Jawatan

PEGAWAI akhbar kepada Menteri Belia dan Sukan, Numan Afifi, yang sebelum ini dikecam hebat mengambil keputusan meletak jawatan daripada tugas berkenaan.

Melalui kenyataan hari ini, Numan menjelaskan bahawa dia sekadar menolong Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai pegawai akhbar sementara sebelum menteri beliau dan sukan itu mempunyai setiausaha akhbar rasmi yang akan dilantik dalam masa terdekat.

Kecaman dan ancaman hebat oleh ejen propaganda pembangkang, menyebabkan mustahil untuk dirinya menjalankan amanah diberi.

“Saya mengambil keputusan tidak bertugas secara rasmi di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan akan ke luar negara dalam masa terdekat bagi menentukan apa hala tuju selepas ini.

“Saya berhasrat mengulang dan menegaskan kenyataan Syed Saddiq bahawa setakat ini belum ada sebarang pelantikan rasmi di pejabat menteri.

“Menjawab mengenai isu beberapa nama tertera di laman web rasmi KBS, saya dimaklumkan terdapat unsur sabotaj dan siasatan dalaman sedang dijalankan serta difahamkan tindakan tegas akan diambil ke atas pesalah,” katanya.

Numan turut berterima kasih kepada Syed Saddiq yang memberinya peluang sepanjang kempen pilihan raya di Muar dan fasa transisi di KBS dan menganggap ia satu penghormatan untuk dirinya.

Beliau berkata, masalah itu tidak harus dipanjangkan lagi dan Syed Saddiq juga menghormati keputusan berkenaan.

“Mudah-mudahan kita dapat hidup bermasyarakat di Malaysia yang meraikan kepelbagaian tanpa prejudis,” katanya.

Sementara itu, Numan adalah pentadbir bagi kumpulan WhatsApp untuk menyelaraskan jadual kerja Syed Saddiq dan pihak media selepas Ahli Parlimen Muar itu memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Difahamkan, Numan juga sebelum ini memperkenalkan diri sebagai ‘pegawai akhbar’ kepada menteri muda berkenaan.

Namun, pelantikan tidak rasmi itu mencetuskan kritikan sesetengah pihak yang mendakwa Numan memperjuangkan hak ‘Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual’ (LGBT) serta tidak sepatutnya dilantik sebagai kakitangan KBS. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.