Semasa Terkini Viral

Main Air Sambil Merawat Anak Autisme Di Aquaputra

Autisme, gejala psikologi di kalangan kanak-kanak yang tidak lagi asing pada masa kini selepas kian banyak pendedahan diberi mengenainya bagi menyedarkan ibu bapa dan masyarakat.

Mengikut statistik dikeluarkan Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom) pada 2013, seorang daripada 150 kanak-kanak yang dilahirkan di seluruh dunia memiliki gejala autisme.

Daripada jumlah tersebut dianggarkan 47,000 orang berumur antara enam bulan hingga lewat 20-an menghidap autisme di Malaysia.

Ibu bapa dinasihatkan agar peka dengan kelakuan anak masing-masing kerana sindrom autisme boleh dikesan dan dirawat pada peringkat awal.

Sehubungan itu, Persatuan Autisme Muslim Malaysia dengan kerjasama Akademi Aquaputra Malaysia telah menjalankan program Swim & Save Therapeia (Autism) 2017 melibatkan 10 penghidap autisme kanak-kanak yang terpilih serta dibantu beberapa sukarelawan bebas.

Akademi Aquaputra Malaysia merupakan sebuah akademi latihan Bumiputera yang mengendalikan kursus kemahiran dan pensijilan serta acara yang berkaitan bidang menyelamat akuatik dan rekreasi luar.

Ini merupakan sebuah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh akademi itu bagi menambah-baik modul pembelajaran berbentuk aktiviti rangsangan otot dan minda serta pendekatan terbaik keselamatan air khususnya untuk kanak-kanak istimewa.

Program menggunakan teknik terapi air atau hidroterapi yang dikendalikan sebanyak enam kali bermula 15 April sehingga 20 Mei 2017 di Lacomme Resort Country, Putrajaya.

Peserta-peserta diajar berenang dan cara menyelamatkan diri yang betul di dalam air.

Mereka turut ditemani ibu bapa yang juga diajar oleh sukarelawan dari akademi penyelamat air tersebut mengenai cara mengendalikan anak istimewa di dalam air dengan betul.

Terapi air dikatakan amat membantu proses rehabilitasi dalam pendidikan khas bagi kanak-kanak bermasalah serta mengalami ketidakupayaan pembelajaran.

Terapi air membantu mereka mencapai perkembangan dari segi kognitif, emosi, sosial dan psikomotor dengan lebih baik.

Aktiviti di dalam air terbukti dapat merangsang sensori, menghilangkan tekanan, mengurangkan tantrum dan risiko kecederaan diri, mempercepat pertuturan serta meningkatkan keyakinan diri kanak-kanak autism. –KLICK.MY

Sumber: FB Akademi Aquaputra Malaysia