Viral

Tak Tahan Dihina, Pengantin Bawah Umur Kini Tinggal Di Hutan

BARU-BARU ini tular dan gempar mengenai kisah seorang lelaki berkahwin dengan gadis bawah umur.

Berita perkahwinan tersebut tular di media sosial selepas isteri kedua lelaki itu memuat naik gambar perkahwinan mereka di laman Facebook pada bulan Jun lalu.

Mereka berkahwin di sebuah masjid di Kampung Padang Nyor di Munduk, Thailand pada 18 Jun.

Berikutan itu, dia didenda sebanyak RM1,800 atas dua pertuduhan iaitu berkahwin dan berpoligami tanpa kebenaran di Mahkamah Rendah Syariah di Gua Musang pada bulan lalu.

Sejak, itu mereka sering dihina dan dikecam masyarakat. Terbaharu, akibat tidak tahan berterusan dihina dan dipinggirkan masyarakat setempat, lelaki yang bekerja sebagai peraih getah itu terpaksa memindahkan isterinya berusia 11 tahun di kawasan kebun getah di Gua Musang lapor Harian Metro Online.

Menurut lelaki berkenaan, isteri dan ibu bapa mentuanya ditempatkan di sebuah rumah di kawasan pedalaman minggu lalu.

“Selepas perkahwinan kami tular, isteri saya bukan sahaja diejek dengan pelbagai panggilan oleh penduduk kampung, malah ada yang sanggup mengambil gambarnya sebelum menyebarkan kepada individu lain melalui aplikasi WhatsApp.

“Tidak tahan melihat mereka diperlakukan sedemikian rupa, saya memindahkan mereka ke kebun getah yang terletak di kawasan pedalaman,” katanya.

Justeru, dengan tindakannya itu dia berharap selepas ini tiada lagi gangguan daripada masyarakat terhadap isteri dan keluarganya.

“Tempat tinggal mereka kini agak jauh di dalam hutan dan hampir setiap hari saya terpaksa berulang-alik untuk menghantar bekalan makanan serta perbelanjaan harian kepadanya.

“Biarkan terpaksa memandu berjam lamanya, pada saya kegembiraan dan keselamatan isteri dan keluarganya adalah yang utama buat masa ini,” jelasnya.

Sementara itu, peraih getah ini berkata dia akan terus memujuk isterinya agar belajar di sekolah pondok memandangkan isterinya itu tidak berminat meneruskan pelajaran dalam bidang akademik. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.