Hiburan

Tak Perlu Keji Bagai Tiada Esok Lusa-Dira Kecewa Netizen Hina Mantan PM

SEBELUM ini umum mengetahui pelakon Dira Abu Zahar merupakan antara artis yang kuat menyokong pentadbiran bekas Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Najib Razak.

Malah sehingga kini pemilik nama sebenar, Khaidhirah Abu Zahar ini masih lagi kelihatan membela mantan PM tersebut.

Kelmarin, kesabarannya melihat bekas PM dihina betubi-tubi di media sosial akhirnya sampai ke kemuncak.

Menerusi Instagramnya, Dira meluahkan rasa kecewa dengan apa yang berlaku. Menurut Dira, dia percaya setiap yang berlaku pasti ada kebaikan di sebaliknya.

“YAB Datuk Seri Najib, saya harap Datuk Seri Najib berada dalam keadaan yang baik dan sihat selalu.

“Walau yang dicanang kini hanya keburukan semata-mata, tapi saya percaya, dalam setiapnya, pasti ada yang baik di sebaliknya,” tulisnya.

Dira yang juga exco Puteri Umno berkata, setiap perkara yang baik perlu dijadikan tauladan, manakala yang buruk dijadikan sempadan.

Dia juga meminta orang ramai tidak terus menghukum bekas perdana menteri itu tanpa belas kasihan.

“Tak perlu keji orang bagai tiada esok lusa. Tak perlu nak menghukum bagai tiada dosa dan pahala.

“Tak perlu menghakimi sesiapa bagai dunia milik kita semata,” ujarnya yang menganggap setiap apa yang berlaku pasti ada hikmahnya.

Biarpun Barisan Nasional khususnya Umno sudah tumbang, namun dia tetap berjanji akan terus memperjuangkan parti tersebut dengan semangat baharu bersama atau tanpa presidennya.

“Kami anak muda akan terus memacu parti kesayangan ini dengan semangat yang lebih progresif, with or without u sir. InsyaAllah, kami takkan persiakan amanat DS. Moga Allah SWT merahmati DSN dan keluarga,” tulisnya.

Sebagai negara demokrasi, tiada halangan untuk anda menyokong mana-mana parti. Semoga Dira terus memacu kejayaan dalam bidang yang diceburi. –KLICK.MY

 

 

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.