Hiburan Sensasi Terkini Viral

Jamal Abdillah Bernikah Kali Ke-4, Pilih Gadis Usia 23 Tahun

Mungkin belum terlambat untuk mengucapkan tahniah dan selamat pengantin baru buat penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah.

Desas desus menyatakan dia kembali mendirikan rumah tangga akhirnya terjawab setelah penyanyi ini sendiri mengakuinya.

Menurut laporan Harian Metro, Jamal telah mendirikan rumah tangga pada April lepas dan ini merupakan perkahwinannya yang keempat.

“Ya, saya sudah bernikah. Cukup setakat itu. Tak perlu tanya lebih-lebih,” katanya yang tidak mahu mengulas lanjut mengenai pernikahan tersebut.

Menurut sumber, penyanyi yang turut digelar Raja Pop itu melangsungkan pernikahan kira-kira dua bulan lalu dengan gadis berusia 23 tahun berasal dari Kulim, Kedah.

Difahamkan, majlis berkenaan hanya dihadiri keluarga terdekat kedua-dua belah pihak.

Dalam pada itu, Jamal turut menafikan majlis kesyukuran yang berlangsung di kediamannya di Shah Alam, kelmarin, adalah majlis sempena pernikahannya.

“Ia adalah majlis tahlil untuk arwah ibu dan bapa saya, doa selamat sempena menyambut Ramadan dan berpindah ke rumah baru,” katanya.

Jamal mendirikan rumah tangga kali pertama dengan Basariah Abdul Latiff pada 1988.

Selepas bercerai dengan Basariah pada 1996, Jamal berkahwin buat kali kedua dengan Intan Noraina Mohd Yusof pada 2001 dan dikurniakan seorang anak iaitu Osama Yamani.

Seterusnya Jamal mendirikan rumah tangga dengan Fatimatuzahra Samad pada 15 Mei 2007 namun perkahwinan tersebut juga berakhir dengan perceraian.

Bersama Fatimatuzahra Jamal dikurniakan seorang anak, Ahmad Zaki Yamani. –KLICK.MY