Viral

Syed Saddiq Kutip Sampah Di Stadium Jadi Bualan Netizen

BAGI sesiapa yang tidak pernah ketinggalan menonton Piala Dunia 2018 pasti mengetahui penyokong Jepun antara penyokong terbaik dan boleh dijadikan contoh.

Penyokong Jepun menunjukkan contoh dan teladan yang mulia apabila bertindak mengutip sampah di stadium sebaik sahaja perlawanan bola sepak tamat.

Mungkin itulah yang mahu diterapkan kepada penyokong di Malaysia, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membuat kejutan sebaik tamat perlawanan akhir Piala FA di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam dengan mengutip sampah.

Menyarungkan jersi Harimau Malaya kuning berjalur hitam, Ahli Parlimen Muar itu dilihat mengutip sampah di stadium berkenaan.

Menerusi video yang tular di media sosial, Syed Saddiq membawa plastik hitam besar mengutip sampah yang ditinggalkan penyokong di tempat duduk seperti bekas minuman dan tisu.

Jika sebelum ini, dengan membawa plastik hitam, penyokong berbaris sambil mengutip sampah dan hanya meninggalkan tempat duduk mereka sebaik bersih, selepas menyaksikan perlawanan Piala Dunia di Rusia.

Rata-rata netizen memuji tindakan Syed Saddiq, malah ada yang mengucapkan tahniah kepada menteri paling muda dalam sejarah negara.

“YB (Yang Berhomat) Syed Saddiq bukan sekadar YB, tetapi juga pendidik, kutip sampah untuk ajak orang lain kutip sampah, bukan duduk pejabat saja,” kata pengguna Twitter @najdiunic.

“Syed Saddiq bukan nak berlakon depan kamera tapi dia nak tunjuk contoh melalui teladan dekat masyarakat supaya kutip sampah lepas perlawanan. Kalau bukan Menteri Belia dan Sukan yang jadi teladan, siapa lagi yang nak buat? Kau? Jadi keyboard warrior boleh lah,” ujar @arepeacekeem.

Bagaimanapun, kehadiran Syed Saddiq di Stadium Bukit Jalil bukan sekadar untuk mengutip sampah semata-mata, tetapi turut bersama puluhan ribu penyokong bola sepak bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala FA antara Selangor dan Pahang.

Pahang merangkul kejuaraan Piala FA buat kali ketiga setelah menewaskan juara lima kali, Selangor, 2-0. –KLICK.MY

Sumber: mStar Online

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.