Gaya Hidup

Sultan Muhammad V, Agong Pertama Letak Jawatan Dalam Sejarah

SULTAN Kelantan, Sultan Muhammad V menjadi Yang Di-Pertuan Agong pertama dalam sejarah meletak jawatan dalam negara yang mengamalkan sistem raja berpelembagaan.

Sultan Muhammad V merupakan Yang di-Pertuan Agong Ke-15 Malaysia.

Peletakan jawatan yang berkuatkuasa pada Ahad itu disahkan menerusi kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara.

“Bagi menjunjung titah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V, dengan ini Istana Negara memaklumkan bahawa KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong XV berkuatkuasa 6 Januari 2019.

“Baginda telah memaklumkan mengenai perkara ini secara rasmi kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja melalui warkah yang telah diutuskan kepada Setiausaha Majlis Raja-Raja,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab. Aziz pada Ahad.

Tambah kenyataan itu, Sultan Muhammad V turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja yang memilih baginda sebagai YDP Agong ke-15 pada 13 Disember 2016.

Tidak terkecuali, Sultan Muhammad V turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan pihak kerajaan kerana memberikan kerjasama dalam pentadbiran negara.

“Selaku pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera, baginda amat berbangga dengan pengorbanan serta taat setia yang telah dicurahkan kepada baginda dan negara selama ini,” ujar kenyataan tersebut.

Sepanjang tempoh berkhidmat sebagai YDP Agong, Sultan Muhammad berusaha memenuhi tanggungjawab dan amanah selaku Ketua Negara.

Majlis Raja-Raja akan bersidang pada hari ini dan menentukan negeri yang bakal menjadi Yang di-Pertuan Agong.

Berdasarkan sistem penggiliran, jawatan tersebut sepatutnya akan diisi oleh Pahang diikuti Johor dan terakhir, Perak. –KLICK.MY