Semasa Sensasi Terkini

Suami Meninggal Dunia Selepas Lapan Jam Isteri Pergi Selamanya

Cinta hingga hujung nyawa. Hidup dan mati pun bersama. Begitulah kesimpulan yang boleh dibuat terhadap kes kematian suami isteri yang dikenali sebagai Robert Stickland, 78, dan isterinya Yvonne, 73.

Pasangan suami isteri dari New Zealand ini menyentuh hati dengan kisah cinta mereka yang utuh sehingga ke akhir hayat.

Kedua-duanya meninggal dunia selang lapan jam pada hari Jumaat. Mereka menderita kanser sejak beberapa tahun lalu.

Yvonne meninggal dunia akibat komplikasi tumor dan Robert pula akibat kanser hati. Pasangan ini sudah bersama sebagai suami isteri sejak 54 tahun lalu. Mereka bertemu di Niue pada tahun 1961 ketika Yvonne menunggang motosikal dan lalu di hadapan Robert.

Mereka juga dikurniakan empat orang anak, dua lelaki dan dua perempuan. Sejak berkahwin, mereka tidak pernah berpisah dan sentiasa bersama.

Salah seorang anaknya, Russell memberitahu kepada Daily Mail Australia ibu bapa mereka tidak pernah berjauhan.

Kematian Vyonne memberi kesan mendalam kepada Robert sehingga dia menangis teresak-esak.

Lantaran ‘patah hati’ akhirnya Robert menyusuli isterinya meninggalkan dunia fana beberapa jam kemudian. Menurut doktor, Robert meninggal kerana kegagalan paru-paru dan kanser hati.

Begitulah suci dan kuatnya cinta mereka. Seolah-olah telah berjanji untuk mati bersama, takdir telah menentukan mereka hanya berpisah selama beberapa jam sahaja. Akhirnya kedua-dua mereka pergi selamanya pada hari yang sama.-KLICK.MY