Gaya Hidup Jenayah Terkini

‘Skandal RM38J’ 22 Beg Tangan Mewah Isteri Masuk Mahkamah

22 BUAH beg tangan jenama mewah Christian Louboutin, Salvatore Ferragamo, Fendi Roma, Gucci, Chanel, Louis Vuitton, Prada Milano dan Christian Dior dikemukakan di Mahkamah Sesyen sebagai barang bukti pada perbicaraan kes bekas pegawai kanan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang didakwa atas 32 pertuduhan salah guna kedudukan dan mengemukakan tuntutan palsu membabitkan RM38.4 juta, semalam.

Kesemua beg tangan itu dikemukakan Ketua Penolong Kanan Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Asmawi A/L Kulup Lam ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM Husmarudin Husin dan Aaron Chelliah pada perbicaraan kes Otman Arshad, 59 tahun, bekas Setiausaha Bahagian Kewangan, KBS.

Asmawi, 37, membuka beg itu satu persatu semasa ditanya oleh Husmarudin mengenainya di hadapan Hakim Azura Alwi.

Saksi pendakwaan ke-49 itu turut mengemukakan sijil pengesahan keaslian bagi kesemua beg tangan itu dan panduan penjagaannya.

Beliau berkata kesemua beg tangan yang dirampas telah dibungkus dengan kemas dan dimasukkan ke dalam sebuah kotak yang ditandakan oleh SPRM.

Husmarudin turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan akan mengemukakan beberapa kotak lagi yang mengandungi beg tangan dan jam tangan mewah semasa perbicaraan akan datang yang ditetapkan pada 16 hingga 19 April ini.

“Pihak kami juga akan mengemukakan beberapa buah kereta mewah milik tertuduh pertama (Otman) serta tertuduh kedua dan ketiga (Abdul Gafar Abdurahiman dan Siti Rohanah Hussien),” katanya.

Pada 21 April 2016, Otman yang diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali, didakwa atas 64 pertuduhan menerima wang berjumlah RM16,623,000 hasil daripada aktiviti haram ke dalam akaun Maybank, RHB dan CIMB Berhad melalui cek antara 7 Mac 2012 hingga 11 Dis 2015.

Selain Otman, pengarah syarikat pembekal barangan sukan di bawah KBS, Abdul Gafar, 44; dan isterinya Siti Rohanah, 44; suri rumah, masing-masing berdepan 63 pertuduhan memindahkan wang berjumlah RM15,723,000 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram menerusi 63 transaksi dari akaun bank tiga syarikat milik mereka ke akaun bank milik Otman bagi tempoh masa yang sama.

Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di beberapa lokasi berbeza antaranya RHB Bank cawangan Presint 8, Putrajaya; Menara Maybank Jalan Tun Perak dan Maybank Jalan Raja Laut.

Otman, Abdul Gafar dan Siti Rohanah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-keduanya, jika sabit kesalahan.

Mereka juga didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFAPUAA) yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun atau boleh juga didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram, jika sabit kesalahan.

Abdul Gafar dan Siti Rohanah diwakili peguam Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos.

Sumber: Bernama

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen