Hiburan

Siti Nurhaliza Sangkal Digam TV3, Mohon Tidak Campurkan Politik & Seni

BARU-BARU ini anak tiri Datuk Seri Siti Nurhaliza, Asyraf Khalid membuat pendedahan dirinya diberi amaran kerana memberi sokongan kepada  Ketua Pemuda Bersatu yang juga ahli Parlimen baharu Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Berkaitan: Anak Tiri Siti Nurhaliza, Asyraf Pernah Diberi Amaran Kerana Syed Saddiq

Malah dia juga mendedahkan disebabkan perkara itu, Siti tidak dapat muncul di TV3. Pendedahan itu menguatkan lagi khabar angin sebelum ini penyanyi tersohor negara itu telah digam oleh stesen tv tersebut kerana pernah menunjukkan sokongan kepada Tun Dr Mahathir.

Namun, hal itu disangkal oleh Siti. Sebaliknya kata Siti, pihak stesen televisyen itu ada menjemputnya untuk membuat kemunculan namun menyifatkan sebagai tiada rezeki kerana undangan itu sering bertindih dengan jadualnya.

“Saya bukan digam atau disekat untuk muncul di stesen televisyen tersebut seperti yang dikatakan ramai. Tidak ada istilah digam atau sebagainya.

“Cuma saya jarang muncul sahaja tetapi TV3 tak pernah sekat saya. Mereka ada juga jemput untuk hadir membuat kemunculan pada program terbitan mereka namun tak dapat penuhi kerana masa yang tidak sesuai selain jadual bertindih,” katanya yang ditemui pada majlis pertunjukan fesyen dan pelancaran butik Creacion & SimplySiti di Melawati Mall petang semalam.

Selain itu juga, Siti berharap selepas ini tiada lagi mana-mana pihak yang mencampur-adukkan soal seni dan politik kerana ia adalah dua perkara berbeza.

Bagi Siti, seni itu untuk dinikmati oleh semua orang tanpa mengambil kira fahaman politik dan sebagai penghibur beliau berhak untuk mengadakan persembahan di mana sahaja.

“Situasi menjadi artis ini memang sentiasa diberi perhatian dan ramai yang mengikuti. Tapi kita tak boleh campur aduk seni dan politik.

“Seni untuk semua dan tidak ada politik. Saya menyanyi untuk semua orang, tidak kira kerajaan atau pembangkang. Sesiapa sahaja untuk dihiburkan,” jelasnya.

Ada benarnya apa yang diperkatakan oleh Siti. Seni dan politik tidak patut dicampur-adukkan. Kalau ia berterusan, satu hari nanti seni akan rosak dan mangsanya adalah artis itu sendiri. –KLICK.MY

 

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen