Sensasi Terkini Viral

Siti Nurhaliza Kesal Penyebaran Berita Palsu Kaitkan Namanya

UMUM mengetahui kini Datuk Seri Siti Nurhaliza sedang berpantang selepas melahirkan anak perempuan yang diberi nama Siti Aafiyah pada 19 Mac lalu.

Namun tempoh berpantangnya itu terganggu dengan kemunculan sebuah berita palsu yang mengaitkan namanya.

Semalam, penyanyi nombor satu negara ini memuat naik paparan skrin berita berbahasa Inggeris bertajuk “Sita Nurhaliza Being Sued After Using Illegal Information To Make Millions (Sita Nurhaliza didakwa menggunakan maklumat tidak sah untuk mengaut untung berjuta)”.

Dalam berita itu, mereka menggunakan gambar penyanyi ini namun namanya dieja sebagai Sita Nurhaliza dan bukannya Siti Nurhaliza.

Menurut Siti, berita palsu itu disebarkan oleh sebuah blog yang mendakwa dia menggunakan maklumat secara tidak sah semata-mata untuk mengaut keuntungan mencecah jutaan ringgit.

Namun Siti menafikan dakwaan tersebut yang turut menggunakan gambar dan namanya, selain meminta masyarakat agar tidak terpengaruh dengan berita palsu berkenaan.

“Berita ini terdapat di dalam sebuah blog iaitu blogspotcentral.com dengan tajuk lain tetapi apabila kita klik, akan keluar berita yang memaparkan wajah saya dengan ejaan nama Sita Nurhaliza.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya berita di atas (jika dirujuk kepada saya) dan perkara tersebut tidak ada kena mengena dengan diri saya.

“Ingatkan waktu berpantang, bolehlah berehat tapi tak mengapa, saya perlu jelaskan sesuatu supaya tidak ada orang yang keliru dengan berita palsu ini,” tulisnya.

Siti turut mempersoalkan motif berita palsu ini disebarkan oleh pemilik blog berkenaan dan menyatakan dia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada penulisnya jika berita itu tidak dipadam.

“Apakah tujuan yang cuba dibuat oleh pihak yang menulis berita tersebut? Saya tidak pasti namun menggunakan wajah saya dan nama Nurhaliza telah mengundang pertanyaan ramai orang mengenai berita tersebut.

“Saya berharap agar pihak yang membuat berita palsu ini segera memadamkan wajah dan nama saya kerana saya tidak ada kena mengena langsung dengan berita tersebut.

“Jika perkara ini berlanjutan, saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang dan akan merujuk kepada pihak yang lebih arif,” katanya.

Individu seperti ini sepatutnya diberi pengajaran agar tidak sewenang-wenangnya menyiarkan berita palsu yang mengaitkan nama artis terkenal.

Nasib baiklah ia dapat ‘dihidu’ oleh Siti, sekurang-kurangnya dia dapat menjelaskan terus kepada orang ramai mengenainya. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen