Hiburan Selebriti Viral

Shaheizy Sam Nak Buka Akaun Instagram Anak Untuk Abadi Detik Indah

Pelakon Shaheizy Sam berhasrat membuka akaun media sosial anaknya nanti seperti anak-anak teman selebriti lain kerana menganggap itulah medium untuknya mengabadikan detik-detik indah kehidupan anaknya.

Menurut Sam, dia agak ralat apabila ibunya tidak menyimpan gambar-gambar ketika dia masih kecil, jadi dia tidak mahu anaknya juga mengalami perkara sama sepertinya.

Sam bagaimanapun memberitahu belum bersedia mendedahkan wajah serta nama bayi lelaki yang merupakan anak sulungnya bersama isteri, pelakon Syatilla Melvin itu.

“Rasanya belum tiba masa saya umumkan namanya selepas mendengar nasihat orang tua-tua. Insya-Allah apabila tiba masa sesuai saya akan beritahu. Tetapi apa yang boleh saya dedahkan saya mengekalkan ‘Sam’ di belakangnya seperti mana nama saya,” katanya kepada KLICK.MY.

Pelakon filem Polis Evo itu bagaimanapun tidak lokek berkongsi pengalamannya bergelar bapa kali pertama.

“Anak Sam, Alhamdulillah tidak banyak meragam, dia kalau tidak menyusu dan tidur, dia hanya termenung dan Sam pun turut sama tidak boleh tidur hanya kerana asyik melihat dia termenung,’’ katanya yang turut membantu menukar lampin bayi.

Ditanya mengenai cara Syatilla berpantang, Sam memberitahu isteri dan anak kini sedang dijaga rapi di sebuah pusat penjagaan pantang di ibukota yang mengamalkan rutin pantang tradisional melayu.

“Sam dan Tilla tidak mahu menyusahkan mummy Sam yang sudah berusia, ibu mertua Sam pula perlu menguruskan adik ipar Sam yang masih kecil dan bersekolah, jadi pusat penjagaan pantang adalah pilihan yang terbaik, ‘’ujarnya.

Sam turut melahirkan rasa syukur kerana rezeki anaknya tidak putu-putus sejak sebelum lahir sehingga dia dan isteri tidak membeli barangan bayi kerana terlalu banyak hadiah diberikan kepada anak mereka. –KLICK.MY