Hiburan

“Setiap Yang Hidup Pasti Mati”-Bapa Mertua Adam Corrie Meninggal Dunia

KELMARIN pelakon Adam Corrie Lee berkongsi di Instagram mengenai perkembangan kesihatan bapa mertuanya yang semakin merosot.

Menurut Adam, bapa mertuanya itu telah menjalani rawatan dialisis selama tujuh tahun.

“Abah sudah jalani rawatan dialisis selama tujuh tahun. Sekarang rawatan dialisis sudah dihentikan kerana badan abah tak boleh terima lagi. Berat badan abah sekarang 37kg. Tiada daging. Hanya kulit membalut tulang.

“Doakan kesihatan abah (bapa mertua) saya dan dipermudahkan segala urusannya. Dan doakan kami sekeluarga kuat untuk terima kemungkinan yang mendatang,” tulisnya sehari yang lalu.

Namun, petang semalam Adam sekali lagi memuat naik entri terbaharu memaklumkan bapa mertuanya sudah meninggal dunia.

“Setiap yang hidup pasti mati. Abah (bapa mertua) saya telah menghembus nafas terakhir pada hari ini (semalam) pada pukul 6:20 petang.

“Semoga roh abah ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman,” tulisnya.

Adam atau nama sebenarnya, Adam Corrie Lee Abdullah, 50, mendirikan rumah tangga dengan isterinya, Fazema Mohd Fuad, 40, pada 21 November 2008 dan dikurniakan seorang anak bernama Adam Fateh Lee. –KLICK.MY