Gaya Hidup Terkini

Sesi Persekolahan Baharu, 10 Cara Tangani Anak Takut Ke Sekolah

Tinggal beberapa hari sahaja lagi sesi persekolahan 2018 akan bermula. Sudahkah anda (ibu bapa) melakukan persiapan untuk anak-anak ke sekolah?

Kalau sudah, bagus kerana anda salah seorang ibu bapa yang tidak melakukannya pada saat akhir. Sesi persekolahan baru bermakna akan bermulalah drama-drama yang sering kali kita lihat saban tahun.

Pelakonnya tidak lain tidak bukan anak-anak yang baru dan kali pertama melangkah ke alam persekolahan yang lebih besar atau lebih tepatnya yang bakal memasuki darjah satu.

Ketika inilah peranan ibu bapa dan guru-guru diperlukan. Fenomena biasa saban tahun melihat pelajar darjah satu tidak mahu ke sekolah dan menangis saat ibu bapa mereka pulang ke rumah.

Lebih parah, ada yang mengamuk sehingga berguling-guling atas tanah kerana mahu ikut ibu bapa balik atau tidak mahu melangkah ke sekolah.

Sebenarnya ini adalah perkara normal dan buat ibu bapa yang kali pertama berpengalaman sedemikian, jangan cepat panik. Berikut adalah 10 cara untuk mengatasi anak yang takut ke sekolah.

  1. Dedahkan Anak Dari Awal Tentang Sekolah Barunya

Ambil masa, bawa anak naik kereta. Jalan-jalan sambil tunjukkan bakal sekolah yang dia akan pergi. Penting jika anak bakal masuk Darjah 1. Jika ada abang atau akak yang bersekolah di sekolah yang sama, ini tentu lebih mudah.

  1. Beli Barang-Barang Sekolah Bersama

Ini penting agar dia merasai keterujaan untuk pergi ke sekolah. Biar dia sendiri yang pilih beg sekolah kegemaran. Sebagai ibu bapa, turutkan sahaja!

  1. Selalu Bercerita Dengan Anak

Bercerita tentang apa yang boleh dilakukan di sekolah. Terutama keseronokan belajar dalam bilik darjah, tentang buku, tentang guru dan tentang kawan-kawan. Ceritakan pengalaman anda semasa di sekolah waktu dahulu.

  1. Berikan Jaminan

Selalu berikan anak jaminan bahawa di sekolah adalah selamat dan katakana kepadanya bahawa kita akan kembali mengambilnya.

  1. Letak Barang Kesayangan

Jika anak masih takut, letakkan sesuatu seperti barang anda di dalam beg sekolahnya. Contoh barang adalah seperti selendang ibu. Katakan kepada anak, jika dia rindu, pegang selendang tersebut. Jangan letak bantal busuk pula!

  1. Usah Ambil Lambat

Sekali berjanji, mesti ditepati. Jangan ambil anak lambat selepas waktu sekolah. Jika kita memungkirinya, anak mungkin sukar untuk mengatasi masalah ketakutannya. Bila sudah mula menangis, anak akan jadi fobia. Walaupun anak naik bas atau van sekolah, datang juga tunjuk muka.

  1. Teman Anak Waktu Rehat

Minggu pertama, anak jadi takut. Mahu beli barang di kantin juga tidak tahu. Ajar anak beli makanan di kantin. Temankan dia agar lebih yakin. Jangan berputus asa. Pujuk anak dan hilangkan ketakutannya.

  1. Ajar Anak Pergi Tandas

Ini antara kebimbangan besar ibu-bapa. Takut anak terkencing atau terberak dalam kelas! Ini bakal memalukan anak. Tunjukkan anak tandas pada hari pertama. Terus berbincang dengan guru kelas tentang tindakan dan perkembangan anak di sekolah pada minggu pertama. Ambil nombor telefon guru kelas jika ada.

  1. Kenalkan Dengan Kawan Tadika

Jika ada kawan yang berjiran, itu juga lebih bagus. Bila mereka berkawan-kawan, anak akan lupa tentang ketakutan diri sendiri. Pergi kantin sama-sama, pergi Pendidikan Jasmani sama-sama. Elakkan anak bersendirian.

  1. Bekalkan Duit Secukupnya

Kalau ada masa untuk masak dan beri anak bawa bekal, itu yang terbaik. Jika ibu-bapa sibuk, berikan duit sahaja untuk mereka belanja di kantin.

Semoga tip ini membantu ibu bapa yang mempunyai masalah anak takut ke sekolah. Ketika ini, banyakkan bersabar menghadapi kerenah anak anda. –KLICK.MY

 

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.