Semasa

Servis Bacakan Doa Di Mekah, Ada Duit Doa Makbul?

Doa yang mustajab tidak semudah menadahkan telapak tangan dan menekur muka, namun untuk memohon sesuatu perlulah berdoa sentiasa tanpa putus asa.

Tak pun, buka saja enjin carian untuk melihat koleksi doa-doa mustajab. Namun siapa sangka, masyarakat kini boleh mendapatkan ‘doa mustajab’ dengan cara mudah.

Laman Facebook yang mempromosikan perkhidmatan membacakan doa di tanah suci Mekah, Valet Doa menjadi tular sejak semalam sekaligus mengundang pelbagai komen kontroversi.

Bagi yang menyokong, mereka memetik hukum kononnya Haji dan Umrah boleh dilaksanakan secara upah jadi mengapa tidak doa?

Paling menarik siap ada diskaun early bird dan money back guarantee kalau doa tak termakbul.

Dalam pada itu menerusi laman web Astro Awani, Pencetus Ummah (PU) Rahmat telah pun memberi ulasan berkaitan isu ini dengan mengingatkan orang ramai bahawa doa tidak memerlukan sebarang perantara.

Bukan itu sahaja, beliau turut menyarankan agar bersedekah jika mahu menggunakan wang sebagai salah satu usaha dalam mengharapkan agar doa yang diminta dimakbulkan Allah Taala.

“Rupa-rupanya Upah berdoa ini betul2 berlaku, saya ingatkan Troll semata mata.

Dengarlah teman, Doa kita kepada Allah tidak memerlukan perantara-perantara yang diupah untuk dimakbulkan doa.

Doalah sepenuh hati dengan keyakinan bahawa Allah Maha Memiliki Segalanya akan memakbulkan permintaan kita, Allah tidak pernah lewat mengabulkan doa kita, cuma kita yang tidak sabar dengan aturanNya.

Kalaupun kalian banyak sangat duit, maka bersedekahlah.

Kerana bersedekah itu mempercepatkan doa dimakbulkan,” komen beliau. -KLICK