Hiburan Selebriti Terkini

Sering Cetus Kontroversi, Neelofa Harap Netizen Tidak Terus Kritik Adiknya

INSTAFAMOUS dan juga adik kepada Neelofa, Nur Ameera Khan sejak akhir-akhir ini sering mencetuskan kontroversi.

Apa sahaja yang dilakukan pasti mendapat perhatian ramai. Antara kes kontroversi yang dicetusnya ialah memperlekehkan telefon pintar jenama Samsung selain imej seksinya yang dikatakan tidak sesuai dengan usia.

Berkaitan: Netizen Geram Adik Neelofa Perlekehkan Jenama Samsung

Baru berusia 17 tahun namun perhatian yang diberikan kepadanya begitu luar biasa. Natijahnya setiap kesalahan walaupun kecil yang dilakukannya akan dipersoalkan.

Lebih melampau, gara-gara kesilapan itu ia akan dikaitkan dengan nama keluarga dan Neelofa sendiri apabila ada yang tidak berpuas hati terhadapnya.

Menurut Neelofa, adalah tidak adil segelintir pihak mengheret ahli keluarga terutama adik kesayangannya itu kerana mereka bukan selebriti.

Pengacara dan pelakon ini juga berharap netizen tidak terus menerus mengkritik adiknya itu hanya kerana kesalahan dilakukannya.

“Dia baru sahaja berusia 17 tahun, saya rasa perlu bagi dia ruang untuk menjadi lebih matang dan belajar daripada kesalahan yang dilakukan.

“Tidak adil untuk terus menerusi mengkritiknya,” katanya yang baru sahaja dinobatkan sebagai artis Top Top MeleTOP di Anugerah MeleTOP Era 2018 (AME2018).

Bagaimanapun kata Neelofa, dia sebenarnya bangga dengan Ameera kerana adiknya itu kuat semangat berhadapan dengan setiap kritikan terhadapnya.

“Saya bangga dengan dia kerana dia sangat kuat, lagi kuat daripada saya sebenarnya.

“Saya sendiri tak rasa dapat jadi sekuatnya jika perkara ini berlaku ketika saya seusianya,” ujar Neelofa.

Dalam pada itu, Neelofa berkata, dia berharap dapat menjadi inspirasi kepada adiknya itu dalam melakukan perkara baik dalam hidup pada masa hadapan.

“Banyak yang dia tengok dan belajar daripada saya dan sebagai kakak saya harap boleh terus memberi inspirasi kepadanya untuk buat perkara yang baik dalam hidupnya,” katanya.

Bak kata orang, pengalaman mampu mematangkan seseorang. Mungkin selepas ini Ameera atau lebih dikenali sebagai Little Miss Khan akan lebih matang dan berfikir terlebih dahulu sebelum buat sesuatu. –KLICK.MY

Sumber: mStar Online

 

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen