Viral

Separuh Badan Hancur Dikisar Mesin Sampah, Keluarga Mohon Bantuan

BERPANTANG maut sebelum ajal, seorang rakyat Malaysia cedera parah selepas ditimpa kemalangan di tempat kerja dalam satu insiden yang berlaku di sebuah kilang kitar semula di Korea Selatan.

Dalam kejadian yang berlaku pada petang Isnin, Daniel Arif Ahmad Fuad, 21, kehilangan hampir separuh anggota tubuhnya selepas ‘dikisar’ sebuah mesin pengisar sampah di kilang yang terletak di Samseong, Seoul.

Menurut bapa mangsa, anak sulungnya yang baru dua bulan bekerja di negara tersebut kini berada dalam keadaan tidak stabil dan terpaksa diberikan ubat tidur oleh pihak hospital yang merawat anaknya.

Ahmad Fuad Yun, 52, memberitahu dia berasa amat terkejut ketika dimaklumkan mengenai tragedi yang menimpa Daniel Arif oleh rakan anaknya.

“Saya dapat tahu daripada kawan-kawan dia yang berada di sana. Saya memang terkejut, tapi saya percaya dengan berita tersebut kerana kawan dia tu memang bersahabat rapat dengannya.

“Saya memang ada halang dia nak ke sana dulu (bekerja). Sedih tu… sesiapa pun akan sedih. Tapi, kita sebagai orang Islam, kita terima qada dan qadar Allah,” ujarnya seperti dilaporkan mStar Online.

Anggota badan mangsa dari bahagian paha ke hujung kaki tidak dapat diselamatkan.

Tambah Ahmad Fuad, dia dan isterinya, Zainah Mohamad ketika ini sedang menguruskan dokumen berkaitan di Jabatan Imigresen sebelum meneruskan perjalanan ke Korea Selatan untuk melihat keadaan anaknya.

“Saya tak tahu nak cakap apa sekarang, saya cuma nak jumpa dia dulu je,” katanya yang dijangka terbang ke Korea Selatan pada Sabtu.

Pihak keluarga mangsa turut berharap agar rakyat Malaysia yang prihatin dapat menghulurkan sumbangan kewangan kepada anaknya yang kini mengalami kecacatan kekal.

Bagi mereka yang ingin menyampaikan sumbangan boleh menghubungi Ahmad Fuad di talian 019-558 9488. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.