Hiburan Sensasi

SENIMAN: Perlu Siasat Terperinci Kes Farid Kamil Kerana Libat Polis

BERIKUTAN kes Datuk Farid Kamil menampar anggota polis dan positif dadah, Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) menyatakan pihak mereka akan menyiasat secara terperinci sebelum mengambil tindakan wajar.

Presiden Seniman Zed Zaidi berkata, kes yang terjadi ke atas Farid Kamil memerlukan siasatan terperinci kerana ia lebih rumit apabila membabitkan anggota polis.

Jelasnya, kejadian yang berlaku terhadap Farid tidak boleh diambil tindakan secara terburu-buru kerana melibatkan kecederaan kepada anggota polis. Malah perkara ini perlu diambil kira dari pelbagai sudut.

“Beri kami masa untuk buat siasatan lanjut atas apa yang berlaku. Kami tidak boleh terburu-buru ambil sebarang tindakan dalam perkara ini.

“Kami perlu dapat maklumat dari semua sudut kerana ia babitkan polis. Seniman akan cuba membantu apa yang perlu untuk Farid selepas kami mendapat hasil laporan siasatan yang dilakukan,” katanya dalam laporan disiarkan Harian Metro.

Semalam, Farid dikatakan berkelakuan pelik dengan tidak berbaju sewaktu ditemui seorang lelaki yang membawanya ke balai polis dan di sana, dia ditahan selepas tiba-tiba mencetuskan kekecohan dengan menampar dan menendang pegawai polis serta orang awam.

Selepas ujian air kencing dijalankan, Farid didapati positif dadah jenis ganja.

Siasatan terhadap Farid dibuat mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 bagi perbuatan tidak senonoh di balai polis dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mencederakan. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen